TINDAKAN SAYA ZIARAH MUHYIDDIN SELEPAS DIPECAT TIDAK SALAH : MUKHRIZ
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir tidak merasakan tindakannya menziarahi Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas dipecat sebagai sesuatu yang salah tetapi sedia menerima sebarang kemungkinan politik akibat daripada apa yang dilakukannya itu.
Katanya, beliau mengunjungi Muhyiddin atas kapasiti Menteri Besar Kedah untuk mengucapkan terima kepada bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga bekas Menteri Pelajaran itu atas bantuan yang diberikan kepada Kedah.
Jelas Mukhriz, kunjungan itu adalah perkara biasa kerana semasa Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia pun beliau menziarahi keluarga Allahyarham dan tidak ada apa-apa perkara yang berbangkit.
"Saya tak nampak pula apa yang saya lakukan itu satu kesalahan dan saya tak ... saya ingat elok jangan tanya saya soalan itu, tanya orang lainlah... adakah patut tindakan diambil terhadap saya kerana saya pergi melawat seorang bekas pemimpin untuk mengucapkan terima kasih kepada dia. Saya ingat itu tak salah," katanya ketika ditemui pada majlis Aidilfitri UMNO Bahagian Jerlun di Alor Setar hari ini.
"Walaupun begitu, ya, saya akan menghadapi apa kemungkinan sekali pun dan itu asam garam politik. Kuasa yang ada di tangan saya ini diturunkan oleh Allah, bila-bila masa pun Dia boleh ambil.
"Kita kena reda dengan keadaan itu," tambah beliau.
Mukhriz ditanya mengenai desas-desus tentang kedudukannya sebagai Menteri Besar yang dikatakan tergugat selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merombak kabinetnya pada Selasa.
Berhubung rakaman video perbualan Muhyiddin dengan Mukhriz dan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir mengenai dakwaan duit sebanyak RM2.6 bilion masuk ke akaun Perdana Menteri, Mukhriz tidak menafikan perbualan itu berlaku.
Mukhriz menjelaskan beliau tidak mungkin dapat menghalang Muhyiddin selaku tuan rumah daripada membincangkan apa-apa perkara di kediamannya sendiri.
Abdul Kadir yang hadir sama semasa perbualan itu turut mengesahkan perbualan tersebut berlaku tetapi enggan mengulas lanjut kerana menegaskan ia perbualan tertutup dan tidak sepatutnya dirakamkan.
Muhyiddin sehingga ini belum memberikan sebarang komen mengenai rakaman video itu.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Tajuddin Abdul Rahman yakin Perdana Menteri akan menjawab dakwaan yang berbangkit dalam rakaman video itu dan meminta semua pihak supaya bersabar.
"Saya yakin Najib tidak akan tutup telinga. Beliau akan jelaskan, sabarlah," katanya seperti dipetik oleh Malaysiakini. - ASTRO AWANI
Comments
Post a Comment