TUN M: GUGUR MUHYIDDIN HAK PERDANA MENTERI


KUALA LUMPUR:  Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri adalah hak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Itu hak Perdana Menteri, kalau dia nak gugur, dia gugur-lah," katanya semasa sidang media selepas merasmikan Pusat Hati Pusat Perubatan Prince Court di ibu negara pada Jumaat.

Mengulas mengenai pengguguran Tan Sri Gani Patail sebagai Peguam Negara, Dr Mahathir berkata: "sekarang kita ada Peguam Negara yang baru, saya rasa beliau akan menyiasat kes itu (1MDB). Sekarang kita juga ada PAC sekarang tanpa lima anggota , kita tunggulah sampai anggota baru dilantik," katanya.

Pada masa sama, beliau mengangguk ketika ditanya sama ada pemilihan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baru sebagai pilihan tepat.

"Beliau (Ahmad Zahid) layak seperti juga yang lain," kata Dr Mahathir.

Ditanya mengenai khabar angin yang mengatakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan digugurkan dari jawatannya dan sekaligus memberi impak kepada sokongan UMNO Kedah kepada pucuk pimpinan negara, veteran politik tersebut berkata:

"Saya tidak tahu. Sesetengah pihak akan gembira, dan sesetengah pihak lagi sebaliknya. Yang pasti, jika seorang ahli politik 'kehilangan kedudukannya' tempatnya akan digantikan individu lain kerana ramai masih menunggu untuk memenuhi 'kekosongan' itu," ujar beliau lagi.

Ditanya sama ada barisan kabinet baharu adalah lebih baik daripada barisan kabinet sebelum ini, beliau menggangguk dan berkata, "saya 'tak rasa."

"Saya baca blog, FB tak nampak pertukaran rakyat (keyakinan rakyat terhadap kerajaan) . Semua orang melahirkan perasaan mereka di internet," tambahnya. -ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts