ISU 1MDB: JANGAN DENGAR CERITA KARUT, KEBENARAN AKAN MUNCUL JUGA' -NAJIB

KUALA LUMPUR:  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat agar tidak terpengaruh cerita karut di media sosial berhubung dengan isu yang melanda dirinya dan yakin bahawa kebenaran akan terserlah juga akhirnya.

"Yang lain tu karut, mengarut, jangan dengar cerita.

"Banyak sangat karut-mengarut di media sosial; jangan dengar semua itu, bukan semua itu benar.

"Kita akan pastikan kebenaran akan muncul pada akhirnya," kata Najib.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan yang membabitkan dirinya dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini.

Najib menjelaskan bahawa laporan penuh Ketua Audit Negara akan menjawab segala dakwaan berbangkit berhubung isu itu.

"Kerajaan kita kerajaan yang bersungguh-sungguh untuk rakyat dan saya sebagai perdana menteri sudah tentu saya tidak akan ambil apa-apa yang berhak kepada rakyat," kata Najib.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Nur Ramadan 2015 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Masjid Salahuddin Al Ayyubi, Taman Melati, di sini, malam Khamis.

Tambahnya, beliau tidak akan membuat sebarang pengumuman mengenai dakwaan terhadapnya dan membiarkan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang sendiri melaporkan perkara itu.

Sumber: BERNAMA

Comments

Popular Posts