Followers

BERITA : MUHYIDDIN SIFATKAN PERBUATAN SEBAR BERITA PALSU, FITNAH TENTANG BANJIR SEBAGAI KEJI


PUTRAJAYA:  Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyifatkan tindakan segelintir individu yang menyebarkan berita palsu dan fitnah mengenai musibah banjir di media sosial sehingga menjadi viral, sebagai perbuatan keji.

Timbalan Perdana Menteri berkata selain bertentangan dengan ajaran Islam, perbuatan yang sama sekali tidak mencerminkan akhlak seorang Muslim itu juga boleh mewujudkan rasa benci dan permusuhan sesama umat Islam.

"Cerita-cerita yang direka oleh mereka yang berniat jahat ini banyak menimbulkan rasa resah dan gelisah dalam kalangan rakyat," katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1436H/2015M di Masjid Putra di sini.

Sambutan bertemakan 'Perpaduan Nadi Transformasi Negara' itu turut dihadiri isterinya Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, menteri kabinet berkenaan dan perwakilan negara luar.

Muhyiddin sekali gus menggesa masyarakat supaya tidak mudah mempercayai berita yang tersebar di media sosial tanpa sumber yang sahih.

Beliau bagaimanapun berkata daripada pengamatannya masih terdapat ramai kalangan masyarakat bersimpati dengan mangsa musibah itu.

"Mereka menghulurkan pelbagai bantuan sama ada berupa barangan, wang ringgit mahupun tenaga untuk membantu mangsa banjir.

"Ini adalah contoh akhlak terpuji yang diamalkan oleh rakyat negara ini tanpa mengira kaum atau agama," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin menggesa umat Islam di Malaysia supaya sentiasa berusaha untuk memperkukuh dan meningkatkan kefahaman mengenai pegangan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan menjauhi segala bentuk ajaran yang melampau dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

Beliau berkata pendekatan kesederhanaan atau wasatiyyah yang menjadi tunjang manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah perlu terus dipertahankan bagi mengelak elemen yang boleh merosakkan perpaduan dan mengancam keharmonian ummah.

Muhyiddin turut menarik perhatian bahawa umat Islam tidak boleh membiarkan kecelaruan pegangan akidah dan pemikiran menghasilkan tindakan yang boleh mengancam perpaduan dan keselamatan masyarakat umum.

"Saya percaya masalah perpecahan ummah dan sikap melampau segelintir umat Islam akan dapat diatasi sekiranya umat Islam kembali berpegang kepada ajaran Islam seperti yang terkandung dalam al-Quran dan Sunnah," katanya.

Pada majlis itu, Imam Besar Masjid Negara, Datuk Salleh Mad@Ahmad dipilih sebagai Tokoh Perdana Anugerah Maulidur Rasul 2015.

Salleh menerima wang tunai RM50,000 sijil serta hadiah iringan.

Selain itu, lapan lagi individu turut menerima Anugerah Maulidur Rasul dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM20,000 berserta plak, sijil, dan hadiah iringan.

Sambutan itu bermula dengan perarakan 149 kontinjen membabitkan 12,325 peserta terdiri daripada 68 pasukan jabatan kerajaan, 33 badan berkanun, 13 swasta, 10 badan beruniform, empat sekolah, enam institut pengajian tinggi dan enan kontinjen badan bukan kerajaan.

Peserta berarak sambil berselawat sejauh 1.8km bermula di hadapan bangunan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melalui Persiaran Perdana menuju ke Masjid Putra. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment