SYED ALI: ISU NAJIB DAN TUN M GADUH HANYA REKAAN PEMBANGKANG
KUALA LUMPUR: Isu kononnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad 'berperang' disifatkan hanya rekaan semata-mata.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, perkara itu sengaja diperbesarkan oleh pihak tertentu termasuk media sosial untuk memburukkan imej pentadbiran Najib.
"Najib tidak mungkin berbalah dengan Tun M. Kemungkinan ada perselisihan pendapat dan pertembungan pandangan itu tidak boleh dinafikan," katanya dalam catatan terbaharunya di http://umnobahagiancheras.blogspot.com.
Syed Ali turut percaya Tun Mahathir tidak mempunyai niat buruk terhadap Najib sehingga memaksa Perdana Menteri meletakkan jawatan.
"Saya tidak percaya dia (Tun M) berusaha untuk menjatuhkan Najib, ini semua provokasi pihak berkepentingan," tegasnya.
Kata Syed Ali, Najib juga tidak pernah bersangka buruk terhadap segala teguran dan pandangan yang disuarakan Tun Mahathir.
"Kedua pemimpin itu berjiwa besar, mereka sayangkan UMNO, tidak mungkin berlaku perbalahan yang boleh menjejaskan kekuatan parti," tegasnya.
Jelasnya, situasi kini dilihat ada kemungkinan atau komplot yang sengaja memperalatkan Dr. Mahathir untuk menggugat kedudukan Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO.
"Kadangkala teguran keras Dr. Mahathir sengaja diperbesarkan menerusi media atau laman-laman sosial kononnya Dr. Mahathir berbalah dengan Najib," katanya.
Tambahnya, Najib merupakan presiden parti yang sedia mendengar pandangan dan kritikan daripada semua pihak termasuk daripada bekas pemimpin.
"Saya tidak nampak berlaku sebarang perbalahan sepertimana digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak termasuk pihak media.
"Perbezaan pendapat antara Tun Mahathir dengan Najib sengaja diperbesarkan oleh parti pembangkang," ujarnya.
Dalam pada itu kata Syed Ali lagi, isu percanggahan pendirian Dr. Mahathir dengan Najib juga tidak sepatutnya menjadi perbahasan di kalangan pemimpin UMNO.
"Tak perlu dibahaskan secara terbuka, itu semua agenda pihak berkepentingan, mengapa kita perlu ikut rentak mereka.
"UMNO parti terbesar, sudah tentu berlaku sedikit pergeseran pendapat di kalangan pemimpin, itu perkara lumrah tetapi bukan membawa maksud berbalah hingga menjejaskan parti," tegasnya.
Sebaliknya ujarnya, pemimpin UMNO perlu melihat secara positif dalam isu tersebut dan tidak menjadikan laporan media sebagai sumber perbahasan.
"Media termasuk portal berita pro-pembangkang sememangnya akan menjadikan isu Dr. Mahathir dan Najib sebagai laporan sensasi, ini semua tidak menguntungkan UMNO," katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Syed Ali turut melihat kesediaan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim yang dilaporkan bersedia menjadi 'orang tengah' untuk menyelesaikan krisis hanya menimbulkan persepsi kepada parti sendiri.
"Pada hemat saya, kalau tidak ada sebarang krisis, mengapa perlu ada orang tengah, ".
"Perkembangan itu akan menimbulkan persespi pelbagai di kalangan masyarakat umum terhadap UMNO.
"Bagaimanapun saya sentiasa menghormati kesediaan Shahidan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri," katanya.
Syed Ali turut memberi cadangan kepada kepimpinan parti agar bertemu dengan Dr. Mahathir dan menjelaskan keadaan yang sebenarnya.
"Barangkali Dr. Mahathir mendapat laporan tidak betul, ini yang kita perlu perjelaskan.
"Seperti Najib, Dr.Mahathir juga seorang pemimpin yang sedia mendengar pandangan dan teguran orang lain," katanya.
Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan menegaskan, paling penting kini semua pihak harus melihat isu tersebut sebagai soal dalaman parti.
"Dr. Mahathir orang UMNO, kita semua orang UMNO, mengapa kita nak perbesarkannya.
"Ini semua mungkin komplot dan agenda pihak tertentu, termasuk pembangkang untuk menghancurkan perpaduan dalam UMNO," jelasnya.
Sehubungan itu, Syed Ali mengulangi sokongannya terhadap kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang menjelaskan sebarang perbalahan sewajarnya dibawa ke meja rundingan.
Tambahnya, apa juga perbezaan pendapat tidak perlu diperdebatkan secara terbuka terutama menerusi media sosial atau akhbar. - ASTRO AWANI (28/1/2015)
Comments
Post a Comment