Followers

KENYATAAN AKHBAR KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT



KENYATAAN AKHBAR KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT

ROTAN SEHINGGA MENYEBABKAN KECEDERAAN FIZIKAL ATAU EMOSI KEPADA KANAK-KANAK 
1. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) ingin merujuk kepada liputan media berkaitan tindakan merotan anak menjadi kesalahan jenayah yang disiarkan oleh akhbar pada hari ini (25 Januari 2015) berdasarkan sidang media pada 24 Januari 2015 di Shah Alam.

2. Dalam sidang media tersebut, YB Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberi penerangan bahawa cadangan di dalam Rang Undang-Undang Kanak-Kanak baharu akan merangkumi perkara-perkara berikut:

i. Penyertaan kanak-kanak selaras dengan prinsip Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (Convention on the Rights of the Child, CRC);

ii. Pemansuhan hukuman sebatan ke atas kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-undang (melakukan kesalahan jenayah);
iii. Peruntukan baharu yang membolehkan pelaksanaan konsep diversion; dan
iiii. Peruntukan baharu mengenai pelaksanaan deinstitutionalisation.

3. Pada masa ini seksyen 91 (1) (g) dalam Akta Kanak-Kanak 2001 membenarkan seseorang kanak-kanak lelaki dikenakan hukuman sebatan tidak lebih daripada 10 kali sebatan apabila disabitkan dengan kesalahan melakukan jenayah. Dalam hal ini, hukuman sebatan di Mahkamah adalah berbeza dengan hukuman merotan sama ada di sekolah atau rumah. Hukuman sebatan di Mahkamah dilakukan secara teratur mengikut prosedur yang ditetapkan undang-undang. Walau bagaimanapun, atas alasan perkembangan psikologi dan selaras dengan CRC Kementerian bercadang untuk memansuhkan hukuman tersebut.

4. Selaras dengan cadangan pemansuhan hukuman sebatan di Mahkamah tersebut, Kementerian telah meneliti perlakuan merotan kanak-kanak di kalangan masyarakat Malaysia. Pada masa ini, peruntukan yang dicadangkan dalam Rang Undang-Undang Kanak-Kanak baharu bukanlah bermaksud supaya setiap perbuatan merotan menjadi kesalahan jenayah.

5. Perlakuan merotan, sekiranya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal atau mental boleh terjumlah kepada melakukan kesalahan jenayah. Di bawah undang-undang sedia ada pun, sebenarnya perbuatan itu telah dijadikan suatu kesalahan di bawah seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum dengan penjara selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau denda tidak melebihi dua puluh ribu atau kedua-duanya.

6. Kementerian sedang meneliti dan memperhalusi cadangan untuk memasukkan peruntukan undang-undang yang lebih terperinci supaya apa-apa perbuatan kepada kanak-kanak sehingga menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi kepada kanak-kanak merupakan suatu kesalahan jenayah yang boleh dikenakan hukuman penjara atau denda yang lebih tinggi. Di samping itu, Kementerian juga mempertimbangkan untuk mengadakan hukuman alternatif seperti khidmat masyarakat atau kaunseling atau kursus ke ibubapaan.

7. Selaras dengan amalan konsultasi dan engagement secara berterusan dengan semua stakeholders dan 
pihak berkepentingan, Kementerian ini akan meneruskan tradisi tersebut dalam penggubalan Rang Undang-Undang Kanak-Kanak ini.

Disediakan oleh:
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Aras 35, No. 55, Persiaran Perdana, Persint 4,
62100 Putrajaya.
No.tel: 03-8323 1087


P/s : kalau dari awal sebut mendera anak satu kesalahan, takde siapa akan marah. Lain kali pesanan LADY gunakan ayat setepat mungkin. Kepada setiausaha Akhbar, berhati-hati. Mungkin menteri tak sempat nak memeriksa setiap baris ayat yang anda bina. Amanah dah di bahu anda. Jangan sampai ayat yang dibina memusnahkan segalanya!!!!

No comments:

Post a Comment