Followers

DUA RANG UNDANG-UNDANH BAHARU CEGAH KEGANASAN AKAN DIBENTANG: ZAHID


SHAH ALAM:  Kabinet telah meluluskan Rang Undang-Undang Pengganas Asing dan Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) untuk dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Rang Undang-Undang Pengganas Asing adalah khusus bagi membendung kemasukan pengganas asing ke negara ini dan POTA untuk menangani ancaman keganasan dalam negara.

"Rang Undang-Undang Pengganas Asing digubal memandangkan Malaysia berpotensi menjadi tapak atau transit untuk bergerak ke negara ketiga iaitu negara yang menjadi sasaran pengganas," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan 'Seminar Pengurusan Kewangan: Merancang Kembali Kewangan Anda' di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan sebarang pendakwaan atau keputusan menjatuhkan hukuman terhadap pesalah di bawah kedua-dua undang-undang baharu itu akan dilakukan oleh dua lembaga iaitu pencegahan jenayah dan keganasan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid menyangkal dakwaan pihak tidak bertanggungjawab yang menyatakan sekolah aliran agama di negara ini menjadi markas merekut anggota militan.

Katanya daripada 61 individu yang ditahan kerana disyaki berjuang untuk kumpulan militan Negara Islam (IS), hanya seorang mempunyai latar belakang sekolah aliran agama.

"Tidak adil jika ada yang membuat dakwaan sedemikian namun kita akan terus pantau sekolah aliran agama serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata sebanyak 302,901 individu ditahan pasport antarabangsa oleh Jabatan Imigresen kerana diisytiharkan muflis dan majoriti daripadanya melibatkan golongan muda.

"Mengikut laporan dan statistik Jabatan Insolvensi Malaysia, hampir 45,000 individu berumur di bawah 35 tahun sudah diisytihar muflis sejak tiga tahun lepas," katanya. -BERNAMA

No comments:

Post a Comment