PERSOALAN : KENAPA PEMBORONG TIDAK DIAUDIT


Cayalah! LADY kagum dengan artikel ini. Sila baca betul-betul

Kenapa pemborong tidak diaudit?

Anggota polis marin mengawal sebuah kapal yang menjalankan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Sungai Serai Seri Alam, Johor, kelmarin.

MUNGKIN bagi sesetengah pihak, sikap proaktif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam membanteras penyalahgunaan dan penyelewengan diesel bersubsidi harus dipuji, apatah lagi dengan kejayaan mematahkan perbuatan itu melalui Ops Titik.

Tetapi persoalannya, apakah ia benar-benar mampu membanteras perbuatan haram tersebut dan apa kesudahannya terhadap sebahagian besar pemborong-pemborong yang sebelum ini dikenalpasti terlibat dalam sindiket menyeleweng diesel bersubsidi.

Kali ini Wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR, MOHD.SHARIZA ABDULLAH dan SITI ROHAIZAH ZAINAL mendedahkan pula, persoalan pokok yang sepatutnya diberikan tumpuan oleh KPDNKK dalam usaha memastikan usaha membanteras perbuatan yang diangap sabotaj kepada ekonomi negara itu benar-benar berjaya.

KUALA LUMPUR 26 Jun - Walaupun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dilihat aktif untuk membanteras penyalahgunaan dan penyelewengan diesel bersubsidi namun kementerian tersebut dilihat masih belum menyentuh isu pokok yang memungkinkan gejala itu berlaku.

Satu sumber berkata, sehingga ke hari ini KPDNKK dilihat masih belum melakukan sebarang pengauditan terhadap pemborong-pemborong yang sebelum ini didakwa sebahagian besar daripada mereka terlibat dalam sindiket penyelewengan bahan bakar tersebut.

"Kita masih ternanti-nanti tindakan KPDNKK terhadap golongan tersebut tetapi sehingga ke hari ini, kementerian itu dilihat lebih menumpukan kepada masalah remeh temeh dan bukannya persoalan pokok iaitu mengaudit semua pemborong berlesen dan syarikat yang diberi permit.

"Walaupun persoalan ini pernah ini ditimbulkan tetapi kita lihat tiada tindakan dilakukan oleh kementerian tersebut,'' kata sumber itu kepada Utusan Malaysia.

Malah sumber berkenaan berkata, penyelewengan diesel bersubsidi tidak akan dapat dihapuskan, kalau sekadar KPDNKK membekukan lesen tanpa membuat penilaian semula terhadap kesemua lesen yang diberikan kepada pemborong.

"Saya tidak faham kenapakah KPDNKK sukar sangat hendak melakukan pengauditan tersebut, kalau tidak ada tenaga, mereka boleh meminta kepada kerajaan untuk membenarkan satu pasukan petugas khas ditubuhkan,'' katanya.

Sumber itu berkata, pengauditan tersebut amat penting bagi mengelakkan pemborong yang tidak bertanggungjawab terus melakukan penyelewengan diesel bersubsidi.

"Kita tahu sebahagian besar daripada mereka terlibat tetapi selagi pengauditan tidak dilakukan selagi itulah mereka yang selama ini sudah mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit melalui aktiviti haram itu akan bebas daripada perbuatan jenayah tersebut,'' katanya.

Oleh itu, sumber tersebut mengingatkan, kementerian itu tidak perlu beria-ia hendak memperkenalkan sistem baru yang dikatakan akan mampu mengekang penyelewengan diesel bersubsidi sedangkan sistem dalaman sendiri masih berkeceramuk.

"Kenapa perlu tumpu kepada pelaksanaan sistem yang akan menelan belanja beratus-ratus juta ringgit sedangkan sistem pengurusan dalaman berkaitan pengagihan dan pemberian lesen pun masih banyak masalah,'' katanya.

Sumber itu juga menarik perhatian bagaimana sehingga ke hari ini KPDNKK melalui Ops Titik hanya mampu menumpaskan sindiket-sindiket kecil sahaja.

"Kita tertanya-tanya kenapakah sindiket besar masih lagi beroperasi, saya percaya kementerian tersebut mempunyai maklumat berkenaan,'' kata sumber itu.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

Comments

Popular Posts