DAP DIKECAM OLEH SETIAUSAHA POLITIK PM

KOTA BAHRU, 17 Nov - DAP secara terang-terangan tidak menghormati rakan dalam pakatan mereka apabila menolak hukum hudud yang akan dilaksanakan PAS andai mereka menguasai Putrajaya.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Mohd Fatmi Che Salleh berkata ia terbukti selepas kenyataan Pengerusi DAP Karpal Singh yang menegaskan keputusan PAS mengenai isu Hudud tidak boleh dikait dengan sebarang kompromi dan ia adalah dasar kepada kewujudan parti itu.

"Saya tidak terkejut langsung dengan penafian Karpal kerana memang DAP sejak daripada dahulu hingga sekarang memang menentang negara Islam. Dengan sendirinya penafian ini sudah dijangkakan.

"Kalau PAS betul-betul nak perjuangkan Islam, mereka terpaksa kaji balik hubungan dan kerjasama mereka dengan DAP," kata Fatmi kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Ramah Mesra Ahli Kelab Suara Muda, di sini malam tadi.

Pada majlis itu, Fatmi menyerahkan sumbangan berjumlah RM150,000 daripada kerajaan persekutuan kepada kelab itu untuk menaiktaraf dewan bagi kegunaan anggota kelab. Turut hadir Presiden Kelab Suara Muda Hashim Mohd Ali.

Isu pelaksanaan hukum hudud kembali 'panas' apabila Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Harun Taib selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama PAS ke-51, dua hari lepas dilaporkan berkata PAS telah bersetuju untuk melaksanakan dasar Islam, termasuk syariat Islam dan hukum hudud sekiranya berjaya mentadbir negara.

Harun berkata pakatan pembangkang secara umumnya bersetuju bahawa hukum hudud akan dilaksana sekiranya pembangkang berjaya membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum ke-13.

Bagaimanapun, kenyataan Harun itu disanggah Karpal dan Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP Dr Tan Seng Giaw yang dilapor berkata mereka tidak tahu bagaimana boleh timbul isu hukum hudud dipersetujui pakatan pembangkang, sambil menegaskan DAP hanya menerima kedudukan agama Islam seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tan berkata persetujuan yang dicapai antara DAP dan PAS mengenai pelaksanaan hukum hudud sekiranya pakatan pembangkang berjaya membentuk kerajaan nanti, adalah berdasarkan apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sumber: KLPos dot com

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Comments

Popular Posts