UMNO, BN PERLU PANTAS TANGANI FOTNAH : RAHMAN DAHLAN


KUALA LUMPUR:  UMNO dan Barisan Nasional (BN) memerlukan fakta dan kepantasan dalam menangkis fitnah terutama yang semakin serius di media sosial.

Pengarah strategi dan komunikasi BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata pasukan 'cybertroopers' BN perlu lebih pantas menangani fitnah kerana ia kini menular dengan pantas di media sosial.

"Apa yang (cybertroopers) UMNO perlukan adalah fakta dan kepantasan.

"Fitnah kini sudah sampai (pada tahap) memudaratkan. Kita kena hentikan atau (sekurang-kurangnya) mengambil tindakan yang boleh mengurangkan fitnah," tegas beliau pada Majlis Pra Pelancaran Program Kayuhan Hari Malaysia 2015 yang bertema "#TolakFitnahMediaSosial" di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Beliau yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO berkata, pada masa kini BN dan UMNO mempunyai pelbagai inisiatif, namun ia perlu diperkasakan selari dengan kepesatan teknologi.

"Jadi, Setiausaha UMNO (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) yang juga Setiausaha BN perlu meneliti inisiatif yang ada," kata Abdul Rahman.

Mengulas berkenaan kritikan akar umbi terhadap kepimpinan UMNO, Rahman berkata UMNO adalah sebuah parti demokrasi yang akan menerima pandangan 3.5 juta ahlinya.

Tambahnya, UMNO tidak akan mudah melatah dan tidak akan bertindak terburu-buru apabila dikritik oleh mana-mana pihak termasuklah daripada suara akar umbi.

"Tak mengapa (dikritik ahli), UMNO ini mempunyai hati yang besar hati, kita boleh terima banyak pandangan, ini bukan krisis pertama yang UMNO lalui.

"Kalau seorang wanita dalam kalangan berjuta wanita (UMNO) ingin memberikan pandangan, kita dengar dan kita menilai pandangan beliau, kita tak perlu gopoh-gapah atau gelisah, itulah UMNO sebenarnya," jelasnya.

Beliau mengulas video ucapan keras dan lantang dari seorang ahli Wanita UMNO Langkawi dalam mesyuarat sayap parti itu pada Ahad yang menjadi viral di media sosial.

Ahli Wanita UMNO, Anina Saaduddin mendakwa lebih tiga juta ahli UMNO kini menjadi mangsa "kencing" Datuk Seri Najib Razak apabila presidennya itu mengatakan kepimpinannya mendapat sokongan penuh.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman juga menegaskan UMNO tidak seperti parti pembangkang yang memecat mana-mana ahlinya jika dikritik.

"Tidak seperti orang lain kena kritik macam DAP, PAS kritik, terus kena pecat, jadi UMNO lebih besar (hati) dari itu.

"Jadi, pada saya, selagi ia tidak melampaui batasan, selagi mana kita boleh memberikan ruang untuk ahli UMNO memberikan pandangan kerana parti kita demokratik," katanya lagi. - ASTRO AWANI

Sumber gambar : sahabat UMNO

Comments

Popular Posts