NAJIB SERTAI RIBUAN UMAT ISLAM PADA MALAM 'DOA UNTUK MALAYSIA'


KUALA LUMPUR:  Hujan renyai tidak menghalang ribuan umat Islam daripada menyertai solat hajat berjemaah pada malam "Doa Untuk Malaysia" yang dianjurkan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2015 di Dataran Merdeka pada Sabtu malam.

Penganjuran majlis itu bagi mendoakan kesejahteraan dan keamanan negara daripada pelbagai tragedi serta bencana yang menimpa Malaysia sebelum ini.

Antaranya termasuk kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, nahas pesawat MAS MH17, banjir besar di Pantai Timur dan gempa bumi di Ranau dan Gunung Kinabalu, Sabah.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang lengkap berjubah putih berserta kopiah bersama beberapa anggota jemaah menteri Kabinet.

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib disusuli solat hajat secara berjemaah dan solat Isyak.

Ia disusuli dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Hazarudin Baharudin memohon supaya dijauhkan daripada bala akibat fitnah serta doa memohon kemakmuran untuk Malaysia. - ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts