PERASAAN UMNO SEMPORNA YANG MEMBATALKAN JEMPUTAN NAJIB DIFAHAMI : RAHMAN DAHLAN


PUTRAJAYA:  Perasaan anggota UMNO Semporna, Sabah yang membatalkan jemputan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak untuk merasmikan mesyuarat bahagian itu adalah difahami, kata Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO itu berkata UMNO Sabah telah melalui banyak pergolakan namun mereka semakin kuat setiap tahun.

Justeru, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu yakin kesetiaan anggota UMNO Semporna akan kembali kepada parti dan institusi presiden.

"Kesetiaan anggota UMNO di Sabah adalah kepada parti dan bukan kepada individu. Saya sebagai anggota Majlis Tertinggi (UMNO) tidak mahu orang setia kepada saya, tetapi setia kepada parti.

"Jadi apapun yang bergolak di Semporna itu kita faham tentang perasaan mereka pada waktu ini...tetapi masih lagi terkawal," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri kementerian, di sini pada Rabu.

Anggota bahagian Semporna itu mendesak pembatalan tersebut setelah ketuanya yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal digugurkan dalam rombakan Kabinet.

Mohd Shafie adalah juga naib presiden UMNO.

Mengulas mengenai kenyataannya ketika menjadi tetamu program Lanskap Khas RTM pada Selasa bahawa beliau sendiri (Abdul Rahman) akan menjatuhkan Najib jika terbukti bersalah, beliau berkata ia akan dilakukan atas dasar prinsip.

"Kita tak mahu seorang presiden yang merompak duit rakyat, jika terbukti sudah pasti tak boleh jadi presiden.

"Tetapi yang kita pertahankan di sini, bila ada tohmahan dan fitnah maka kita harus pastikan satu siasatan terperinci dibuat. Itu yang saya mahu," jelasnya. - BERNAMA

Comments

Popular Posts