MALAYSIA TIDAK AKAN TAMBAT RINGGIT, LAKSANA KAWALAN MODAL : NAJIB


PUTRAJAYA:  Kerajaan tidak akan melaksanakan kawalan modal atau menambat ringgit kepada dolar Amerika Syarikat (US), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Walaupun kerajaan melihat paras semasa ringgit tidak menggambarkan asas negara sebenar, namun kerajaan menyedari mengenai penyepaduan ekonomi Malaysia dan ekonomi global, katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia menjadi semakin bersepadu dengan pasaran kewangan global berdasarkan keterbukaan pasaran dagangan dan kewangannya.

Berikutan ekonomi dan pasaran kewangan global kini melalui penyelarasan, ia akan memberi implikasi atas pasaran kewangan domestik dan kadar tukaran mata wang.

"Oleh itu, fleksibiliti kadar tukaran mata wang kita sangat penting untuk menyerap pelarasan dan turun naik global ini.

"Atas sebab itu, kerajaan Malaysia tidak akan mengambil langkah menambat ringgit atau pun melaksana kawalan modal," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada 9.30 pagi, ringgit disebut harga pada 4.0980/1030 berbanding 4.1040/1090 pada 5 petang Rabu.

Mengenai sama ada ringgit mampu melantun semula, Najib berkata: "Ia bergantung kepada faktor-faktor luar. Orang ramai mahu melihat apa yang akan kita lakukan dalam jangka pendek, dan pasti akan ada tindak balas."

Pada sesi perbincangan bersama pakar dan penganalisis ekonomi semalam, beliau berkata mereka yakin ringgit sepatutnya lebih tinggi dalam kedudukan semasa berbanding dolar US berdasarkan asas-asas ekonomi negara yang kukuh.

Najib juga menggalakkan syarikat supaya menggunakan produk tempatan seperti syarikat berkaitan kerajaan, dan beberapa syarikat korporat yang beroperasi di luar negara pula wajar menimbang untuk mencairkan aset dan membawa pulang ke Malaysia.

"Industri pelancongan perlu membuat pemasaran secara agresif dan memanfaatkan kedudukan semasa ringgit," katanya.

Ditanya sama ada paras semasa ringgit kompetitif untuk perniagaan tempatan dan luar negara, Najib berkata beberapa sektor tertentu akan memperoleh manfaat manakala yang bergantung besar ke atas import seperti pengilangan, akan berada pada kedudukan yang lebih sukar.

"Beberapa perniagaan atau perbadanan yang meraih hasil dalam dolar pasti sangat gembira manakala yang bergantung ke atas import menghadapi masalah disebabkan import menjadi sangat mahal," katanya. - BERNAMA

Comments

Popular Posts