#PAU2013: PEMUDA SEDIA GALAS HARAPAN PARTI, JUARAI SETIAP ISU YANG DEKAT DI HATI ORANG MUDA : KJ


KUALA LUMPUR 3 Dis – Pemuda UMNO sedia menggalas amanah dan harapan yang dilontarkan oleh Timbalan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bukan sahaja mahu pergerakan itu lebih lantang dan berani membawa perjuangan parti tetapi menjuarai apa jua isu yang dekat di hati orang Melayu khususnya golongan muda tanpa menafikan hak kaum yang lain.

Rata-rata para perwakilan yang ditemui melahirkan kesediaan dan melihat ucapan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bertemakan `Menyambung Risalah Perjuangan Suci .pada perasmian Perhimpunan Serentak Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2013  di Dewan Merdeka di sini malam tadi sebagai  intipati penting dalam usaha mendepani cabaran selepas ini.

Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkata pergerakan itu akan terus menjadi benteng dan perisai kepada orang Melayu serta umat Islam di negara ini seperti yang diamanahkan Muhyiddin.

"Kebimbangan terhadap usaha dijalankan untuk pertikaikan kedudukan orang Melayu atau menyerang agama Islam takkan dikompromi, dan UMNO terutama Pemuda, tetap di barisan hadapan dengan jaminan untuk lindungi, atasi dan tewaskan anasir ini," ujarnya.

Bagi Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar berkata mereka menyokong sepenuhnya apa yang telah diingatkan Timbalan Presiden dan akan melaksanakan yang terbaik bagi merealisasikan agenda yang telah digariskan.

"Peringatan Tan Sri Muhyiddin cukup jelas…. sesungguhnya UMNO inilah yang akan memperkasakan ekonomi bumiputera dan orang Melayu dan UMNO ini jugalah yang akan pertahankan kesucian agama Islam. Jadi banyak program yang akan kita laksanakan terutama di peringkat memperkasakan ekonomi bumiputera serta agama Islam.

"Insyaallah Pemuda dan juga Biro Penerangan akan terus bekerjasama dengan semua pihak untuk memberikan penjelasan yang kita fikirkan perlu supaya ahli Pemuda dapat bersama mendepani cabaran bagi melaksanakan tanggungjawab lebih berkesan untuk perjuangan parti .

"Penting juga untuk kita sama-sama hayati penekanan beliau agar kita rapatkan barisan dan rapatkan hubungan kekitaan di kalangan ahli Pemuda kerana dengan adanya hubungan dan ukhuwwah yang kuat akan menjadi satu pasukan atau satu rumpun lidi yang sukar untuk dipatahkan," katanya.


Sementara menurut Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizi Zainol Abidin pula , beliau cukup berbangga pada perhimpunan kali ini dengan penekanan yang luar biasa ke arah survival parti dan juga agama Islam.

"Saya rasa ini merupakan masa yang sesuai…kita betul-betul bincangkan UMNO itu untuk beri penumpuan kepada survival Melayu dan agama Islam tanpa mengenepikan kaum yang lain. Kita perlu punyai gabungan baik dengan NGO untuk bersama-sama dengan mereka.

"Ini satu pengalaman baru..tak kata semua baru dan ada yang berpengalaman di peringkat bahagian, NGO dan pertubuhan tertentu..dan ini tentunya akan berikan hala tuju baru bagi seluruh kepimpinan Pemuda dalam merencana gerakan selepas ini," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Subang Mohd Shahriza Amir Sharifudin pula melihat ucapan Tan Sri Muhyiddin mencerminkan harapan beliau untuk melihat transfornasi dalam Pemuda akan dapat impak hingga ke akar umbi.

"Ucapan beliau yang menyentuh soal Pemuda harus bangkit untuk juarai isu orang muda bersama Puteri dilihat kena dengan gerak kerja yang harus sayap tumpukan untuk pru-14 nanti. Antaranya menguasai unit media baru, menjiwai gerak nadi serta denyut nadi pengundi muda di bandar dan luar bandar.

"Saya juga merasakan bahawa ucapan itu jujur dan telus. Beliau lahirkan harapan untuk melihat Pemuda terus melonjakkan semangat walaupun keputusan PRU-13 tidak begitu memberangsangkan untuk BN, tetapi UMNO telah menunjukkan peningkatan daripada kerusi yang dimenangi. Justeru harapan Timbalan Presiden untuk lihat Pemuda lebih lantang dan berani membawa perjuangan parti akan dapat dinilai menerusi gerak kerja nanti," ujarnya

Sementara itu Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Mohd Johari Abu Bakar pula berkata pihaknya akan meletakkan harapan serta penekanan ucapan berkenaan menerusi ' blueprint' di peringkat pergerakan itu nanti.

"Insyaallah….kita akan bawa apa yang ditekankan oleh Timbalan Presiden parti untuk menggerakkan Pemuda Terengganu selepas ini. Penekanan kepada konsep kesederhanaan cukup penting supaya orang muda rasa selesa dengan Pemuda khususnya UMNO itu sendiri," katanya.

Bagi Amran Karim perwakilan Pemuda Tawau, Sabah, ucapan tersebut memberi suntikan semangat kepada pergerakan itu khususnya menjurai isu-isu golongan muda dan rakyat secara keseluruhannya.

"Insyallah harapan Timbalan Presiden untuk kita turun ke setiap pentas untuk menjelaskan perkara yang dekat dengan orang muda akan kita garapkan khususnya isu-isu yang berlegar hari ini," katanya.

Perwakilan Pemuda UMNO Jerlun, Saifudin Saad pula melihat ucapan tersebut menggambarkan harapan yang tinggi daripada pucuk pimpinan terhadap sayap UMNO itu.

"Dalam usaha pucuk pimpinan untuk memperkasakan agenda bumiputera, harus kita beri sokongan dan kita hayati bersama. Cuma kita perlu melihat bagaimana usul ini dibahaskan dengan baik oleh perwakilan daripada Pemuda terutamanya dalam menyahut cabaran ini," ujarnya. -MediaUMNO

Comments

Popular Posts