OPS GASAK UNTUK BERSIHKAN PATI


SEMPORNA:  Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Ahad melancarkan 'Ops Gasak' yang bertujuan membersihkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terutamanya yang menjadi tali barut kepada penjenayah di kawasan pusat peranginan di sekitar Kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Ketua Pengarah ESSCOM Datuk Mohammad Mentek berkata Ops Gasak itu merupakan operasi bersepadu dengan beberapa agensi lain termasuk polis, tentera, Jabatan Pendaftaran Negara, serta Jabatan Imigresen dan ia dilaksanakan ekoran kejadian pembunuhan dan penculikan pelancong warga Taiwan di Pulau Pom Pom, pada 15 Nov lepas.

"Berdasarkan siasatan awal kes pembunuhan dan penculikan di Pulau Pom Pom itu, penjenayah terbabit seolah-olah tahu siapa pelancong yang datang di sini, bila datang dan tempat menginap chalet...kemungkinan ada orang yang memberi maklumat lebih awal. Sebab itu, kita lancarkan Ops Gasak ini. Kita tidak mahu ada di kalangan pekerja pusat peranginan ini jadi tali barut atau pemberi makkumat kepada penjenayah.

"Dalam Ops Gasak itu, kami akan buat pemeriksaan kepada semua pekerja bagi memastikan mereka mempunyai dokumen sah kerana kami khuatiri mereka boleh menjadi tali barut kepada penjenayah," katanya kepada pemberita selepas operasi Ops Gasak yang diadakan buat pertama kali di sini, Ahad.

Dalam operasi itu, pihaknya menahan sembilan individu dipercayai warga asing atas pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai dokumen dan memiliki kad pengenalan palsu.

Mohammad berkata dalam operasi selama lapan jam bermula 7 pagi di empat pusat peranginan iaitu dua di Pulau Mabul dan masing-masing satu di Pulau Pom Pom dan Pulau Kapalai itu, seramai 167 pekerja diperiksa.

Sehubungan itu, Mohammad memberi amaran kepada semua pekerja di pusat peranginan supaya tidak sesekali menjadi tali barut kepada penjenayah kerana ia merupakan satu kesalahan besar.

Mengulas lanjut mengenai Ops Gasak itu, beliau berkata pihaknya akan meneruskan operasi itu dari semasa ke semasa dan berharap dengan kerjasama daripada agensi lain dan orang ramai operasi itu berjaya mencapai sasaran.

Mohammad juga mengingatkan para pengusaha pusat peranginan agar tidak mengambil pekerja yang tidak tidak mempunyai dokumen yang sah.

Sementara itu, beliau turut memberi amaran kepada masyarakat yang tinggal di sekitar kawasan peranginan supaya tidak menyewakan rumah mereka kepada PATI kerana mereka juga akan dikenakan tindakan tegas. - BERNAMA

Comments

Popular Posts