KETUA PUTERI UMNO SEMPORNA NAFI KELUAR PARTI


KOTA KINABALU:  Ketua Pergerakan Puteri UMNO Semporna Zakiah Kalipunya menafikan dakwaan bahawa beliau turut mengambil tindakan keluar parti sebaliknya memilih untuk setia dalam UMNO dan meneruskan wadah perjuangan sehingga tamat tempoh penggal.

Zakiah turut menegaskan bahawa beliau masih lagi sebagai Ketua Pergerakan Puteri UMNO di bahagian itu.

"Ini bagi menghormati mandat perwakilan puteri yang telah memberi kepercayaan kepada kami untuk meneruskan agenda wanita muda," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Naib Ketua UMNO Bahagian Semporna Datuk Dr Jaujan Sambakong mengumumkan keluar parti dan tindakan sama kononnya turut diambil tiga ketua sayap iaitu Ketua Pemuda Mohd Aziz Jamman, Ketua Wanita Manis Muka Dara termasuk Zakiah dan 300 lagi ketua cawangan bahagian itu.

Keputusan itu dibuat susulan tindakan Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada Jumaat lepas menggantung keanggotaan Naib Presiden UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Dalam pada itu, Zakiah berkata Pergerakan Puteri UMNO Semporna turut menggesa agar Lembaga Disiplin UMNO mempercepat laporan siasatan tuduhan perlanggaran disiplin oleh Shafie bagi membolehkan akar umbi UMNO di Semporna khususnya anggota puteri meneruskan kesinambungan perjuangan parti.

"Puteri UMNO Semporna sangat menghormati Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selaku pemimpin yang disegani dan disayangi. Walau bagaimanapun, kami juga menghormati ketetapan yang dibuat oleh MT UMNO selaku pucuk pimpinan parti.

"Keputusan ini amat sukar, tetapi demi kelangsungan survival wanita muda, maka ia adalah yang terbaik bagi semua anggota puteri UMNO Semporna," katanya. - BERNAMA

Comments

Popular Posts