Followers

KEMATIAN MENANTU TPM: POLIS AMBIL KETERANGAN 11 INDIVIDU


KUALA LUMPUR:  Polis telah mengambil keterangan 11 individu dalam siasatan berhubung kematian Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi, menantu timbalan perdana menteri, susulan rawatan gigi di Bangsar, minggu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Mohd Isa berkata dua doktor klinik gigi yang merawat allahyarham antara individu yang diambil keterangan semalam.

"Polis turut ambil keterangan daripada pihak Kementerian Kesihatan dan kakitangan klinik. Buat masa ini, tiada individu ditahan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata polis akan merujuk kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara selewat-lewatnya minggu ini untuk tindakan lanjut.

Syed Alman Zain, 44, merupakan suami kepada anak sulung Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Nurulhidayah, 37.

Allahyarham dilaporkan pergi ke klinik bersama seorang rakan pada kira-kira 6 petang Rabu lepas untuk mendapatkan rawatan gigi sebelum tidak sedarkan diri.

Allahyarham kemudian dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya dan disahkan meninggal dunia.

Pada Jumaat lepas, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh dilaporkan berkata polis mengambil keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung kematian Syed Alman Zain.

Kes disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian, kata Amar Singh.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment