MALAYSIA TIDAK AKAN ALAMI SITUASI DEFISIT BERKEMBAR

KUALA LUMPUR:  Malaysia tidak akan mengalami situasi defisit berkembar (bajet defisit yang semakin meningkat bersama-sama defisit akaun semasa) memandangkan negara ini disokong oleh imbangan akaun yang kukuh, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar (gambar), hari ini.

Imbangan akaun semasa negara pada suku ketiga, yang diumumkan minggu lepas, mencatat lebihan yang lebih tinggi sebanyak RM9.8 bilion berbanding RM2.6 bilion pada suku sebelumnya.

"Kebimbangan ini dibangkitkan oleh beberapa ahli ekonomi serta agensi penarafan, khususnya Fitch.

"Berdasarkan kedudukan ini (baki akaun semasa yang kukuh), sepatutnya tidak timbul rasa bimbang bahawa Malaysia akan mengalami keadaan defisit berkembar," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Statistik Kebangsaan Kedua 2013 di sini.

Imbangan akaun semasa pada suku pertama tahun ini berjumlah RM8.7 bilion. Mengikut asas tahun, lebihan akaun semasa meningkat dua peratus berbanding RM9.7 bilion pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Abdul Wahid berkata, sasaran defisit sebanyak 4.0 peratus tahun ini, 3.5 peratus pada 2014 dan 3.0 pada 2015, boleh dicapai jika asas pendapatan meningkat dan meluas (melalui GST) dan jika perbelanjaan dioptimumkan.

Beliau menyuarakan keyakinan bahawa ekonomi negara akan memperoleh penarafan kredit yang positif daripada agensi-agensi penarafan berdasarkan keluaran dalam negara kasar yang kukuh pada suku ketiga yang melebihi anggaran konsensus.

"Kami berharap mereka akan memperoleh bukti yang secukupnya bahawa kita sebenarnya bergerak ke arah yang betul, supaya akhirnya mereka akan menyemak semula unjuran masing-masing.

"Dalam mana-mana kes, mengapa kita bercakap mengenai agensi penarafan nombor tiga (Fitch Rating). Saya rasa (kita harus melihat) dua agensi pertama, S&P dan Moody's, yang membuat penilaian yang stabil," katanya. - BERNAMA

Comments

Popular Posts