MAHKAMAH SARAN KES SAMAN ANWAR-SYED HAMID DISELESAIKAN MENERUSI MEDIASI


 
KUALA LUMPUR:  Mahkamah Tinggi menyarankan agar kes saman fitnah RM100 juta Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar berhubung penyiaran satu artikel dalam sebuah akhbar, diselesai melalui proses mediasi.
 
Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad membuat saranan itu dalam kamar selepas bertemu peguam S.N. Nair yang mewakili Anwar dan Peguam Kanan Persekutuan Tengku Intan Suraya Tengku Ismail bagi pihak Syed Hamid.
 
Nair memaklumkan pemberita bahawa kedua-dua pihak akan berbincang berhubung proses mediasi itu dan mahkamah menetapkan 28 hingga 30 Okt ini untuk perbicaraan jika tiada penyelesaian.
 
Mahkamah sepatutnya mendengar perbicaraan kes itu hari ini.
 
Anwar memfailkan saman menamakan Syed Hamid sebagai defendan pertama dan kerajaan Malaysia defendan kedua selepas mendakwa bekas menteri itu mengeluarkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya pada sidang akhbar di lobi Parlimen pada 2 Julai 2008, dan kenyataan berkenaan diterbitkan The Star bertarikh 3 Julai 2008.
 
Anwar mendakwa artikel itu menunjukkan beliau seorang pengkhianat, tidak setia kepada negara, agama dan bangsa serta seorang yang tidak boleh dipercayai.
 
Selain RM100 juta, Anwar menuntut ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang dianggap wajar oleh mahkamah. -BERNAMA

Comments

Popular Posts