KAWALAN KESELAMATAN DIPERKETAT BIARPUN HANYA KHABAR ANGIN : ZAHID

KOTA BHARU:  Kawalan keselamatan negara tidak akan goyah dan pasukan keselamatan sentiasa bersiap sedia mengekang sebarang pencerobohan walaupun hanya berdasarkan maklumat melalui khabar angin, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pihak keselamatan tidak akan memandang mudah tentang perkara itu dan kini telah mengambil langkah kawalan yang sangat ketat seperti di Sabah yang kononnya akan berlaku gelombang kedua kemasukan pengganas Kiram.

"Walaupun saya tidak fikir surat yang kononnya dihantar pengganas untuk mencetuskan keganasan di Sabah itu adalah surat sebenar, tetapi langkah kawalan tetap diperkukuh sambil menyiasat punca sebenar surat berkenaan.

"Pada masa yang sama penduduk Sabah jangan khuatir dan jangan mendengar sebarang khabar angin yang hanya bertujuan menimbulkan kerisauan kepada penduduk Sabah," katanya kepada pemberita selepas melawat anggota polis trafik Insp Farid Hasni Mamat, 33, yang putus kaki kanannya akibat kemalangan di Kuala Besut, Terengganu pada Rabu lalu di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini hari ini.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/KA) Bukit Aman Datuk Seri Salleh Mat Rasid, Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, Ketua Polis Kota Baharu ACP Azham Othman dan Pengarah HUSM Datuk Dr Zaidun Kamari turut hadir.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas khabar angin kononnya ancaman gelombang kedua serangan akan berlaku pada Ogos yang disebarkan menerusi surat kononnya ditulis kumpulan pengganas Kiram.

"Saya tidak fikir yang surat itu surat sebenar daripada pengganas Sulu dan tentunya surat itu adalah sesuatu yang agak melucukan kerana tidak ada orang yang memberikan tarikh dan ketika untuk masuk bagi melakukan keganasan dan saya harap surat itu tidak benar sama sekali," katanya.

Ahmad Zahid berkata pasukan polis dan tentera sentiasa bersiap siaga dengan mempunyai pegawai dan anggota yang mencukupi serta aset kelengkapan yang boleh meletakkan tahap kesiapsiagaan itu di peringkat optimum.

Katanya kerjasama dengan pihak keselamatan Filipina juga tetap erat bagi memastikan pergerakan untuk masuk ke Sabah dipantau dengan teliti.

Sementara itu beliau berkata keadaan Farid Hasni kini stabil dan segala keperluan semasa menerima rawatan dan keadaannya selepas itu tetap diberikan keutamaan.

"Saya telah semak dari segi insurans beliau akan memperoleh insurans tetapi untuk bantuan kaki palsu pula selepas rawatan dimuktamadkan dan akan diusahakan PDRM.

"Semangatnya begitu tinggi dan saya juga telah memberikan kata-kata semangat kepada beliau dan jika beliau tidak dapat menjalankan tugas lama, beliau pastinya akan ditukarkan ke unit atau pasukan lain supaya beliau dapat berpeluang bertugas," katanya.- BERNAMA

Comments

Popular Posts