MAHKAMAH PILIHAN RAYA TOLAK PETISYEN BATALKAN KEMENANGAN BN DAN PAS

KOTA BHARU:  Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini mengekalkan kemenangan Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Ketereh, Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Lanas dan DUN Kok Lanas selepas menolak petisyen yang difailkan PKR dan PAS.

Hakim Datuk John Louis O'Hara turut menolak petisyen yang difailkan BN bagi DUN Mengkebang dan DUN Manek Urai yang kedua-dua kerusi itu dimenangi PAS.

O'Hara menolak kesemua lima petisyen itu atas alasan kesemua pempetisyen  gagal mematuhi beberapa peraturan mengikut Kaedah 9 Kaedah-kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.

Beliau menolak kesemua petisyen itu dengan kos.

Bagi Parlimen Ketereh, O'Hara mengarahkan pempetisyen yang difailkan Ab Aziz Ab Kadir membayar kos sebanyak RM40,000 kepada responden pertama iaitu Anggota Parlimennya Tan Sri Annuar Musa manakala masing-masing RM25,000 kepada responden kedua dan ketiga.

Responden kedua adalah Pegawai Pengurus Pilihan Raya manakala responden ketiga adalah Suruhanjaya Pilihan Raya.

Bagi DUN Air Lanas, pempetisyen yang dinamakan Mustapha Deris diarahkan membayar kos RM30,000 kepada anggota DUN Air Lanas, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Bagi DUN Kok Lanas, pempetisyen Shaberi Mohd Zain diarah membayar RM30,000 kepada anggota DUN itu, Datuk Md Alwi Che Ahmad dan masing-masing RM25,000 kepada responden kedua dan ketiga.

Sementara itu bagi DUN Mengkebang pula, pempetisyen iaitu Azizzuddin Hussein perlu membayar RM30,000 kepada anggota DUN itu daripada PAS, Abdul Latiff Abdul Rahman.

Bagi DUN Manek Urai, pihak pempetisyen yang difailkan Che Jalal Che Muda juga dikehendaki membayar kos sebanyak RM30,000 kepada anggota DUN daripada PAS, Mohd Fauzi Abdullah.

Pada pilihan raya umum lepas, Annuar menewaskan calon PKR, Ab Aziz Ab Kadir dengan majoriti 974 undi bagi Parlimen Ketereh.

Bagi DUN Air Lanas, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengalahkan calon PAS, Abdullah Ya'kub dengan majoriti 47 undi manakala Md Alwi menewaskan calon PAS Nik Mahadi Nik Mahmood dengan majoriti 169 undi bagi DUN Kok Lanas.

Abdul Latiff, calon PAS bagi DUN Mengkebang, menewaskan calon BN, Azizzuddin Hussein dengan majoriti 1,072 undi manakala DUN Manek Urai dimenangi Mohd Fauzi yang mewakili PAS dengan majoriti 1,633 undi mengalahkan calon BN Che Jalal Che Muda.

BN pada petisyen itu diketuai peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun dan Mohd Illias Mohd Noor manakala PAS dan PKR oleh Hisham Fauzi.

Responden kedua dan ketiga pula diketuai peguam Azizan Md Arshad. -BERNAMA

Comments

Popular Posts