POLIS SIASAT PEMIMPIN POLITIK BANGKIT ISU PERKAUMAN SEMASA PRU13

PUTRAJAYA: Polis kini menyiasat beberapa laporan terhadap pemimpin politik yang didakwa membangkitkan isu perkauman semasa berceramah pada kempen Pilihan Raya Umum ke-13.

Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Abdul Wahab Mohamed, berkata bagaimanapun pihaknya tidak boleh memberi butiran pemimpin terbabit kerana masih dalam siasatan.
"Sehubungan itu, adalah tidak wajar Jabatan Peguam Negara menguar-uarkan nama ahli politik. Kita tak pernah menyiarkan nama ahli politik atau pemimpin yang terbabit dalam apa-apa siasatan sehingga siasatan lengkap dan pertuduhan dibuat," katanya pada sidang akhbar di Jabatan Peguam Negara, hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Peguam Negara juga menerima 327 laporan polis berhubung aduan bahawa pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertugas pada hari mengundi Ahad lepas melakukan kesalahan.

Antara aduan yang diterima adalah petugas SPR memangkah kertas undi sebelum diserah kepada pengundi untuk dimasuk ke dalam peti undi, katanya.

Abdul Wahab juga berkata, empat individu akan didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting dan Klang esok berhubung pelbagai kesalahan pilihan raya seperti sengaja menghalang pegawai polis menjalankan tugas rasminya dan mengambil bahagian dalam rusuhan.

Selain itu, beliau berkata, sejak 2 petang semalam sehingga 2 petang ini, sebanyak 75 kes diarahkan untuk siasatan lanjut sementara 11 kes tiada tindakan lanjut. - BERNAMA

Comments

Popular Posts