MANTAN KETUA HAKIM NEGARA PERSOALKAN KEUPAYAAN EAIC


PUTRAJAYA:  Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad pada Isnin mempersoal keupayaan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa (EAIC) dalam mengendali aduan daripada orang ramai berhubung salah laku pegawai-pegawai penguatkuasa dan agensi kerajaan.

Beliau menarik perhatian bahawa sejak penubuhannya, dari 347 kes yang diterima EAIC, 110 ditolak, sembilan dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hanya 60 dirujuk untuk siasatan penuh. 

Dari jumlah itu, hanya tiga disiasat sepenuhnya, dengan satu kes dikemukakan kepada Lembaga Disiplin Polis Diraja Malaysia dan dua kes ditutup atas alasan berlaku pendakwaan kali kedua atas kesalahan sama.
"Pokoknya, sejak penubuhannya hingga penghujung 2012, hanya satu tindakan disiplin diambil dan dua amaran diberikan. Untuk bajet RM14 juta bagi tempoh dua tahun, ini pastinya satu perbelanjaan amat besar," kata beliau.

Abdul Hamid menimbulkan perkara itu dalam kertas analisisnya yang dibentangkan pada forum dianjurkan bersempena konvensyen EAIC, di sini.

Beliau berkata, Seksyen 4 Akta Suruhanjaya itu, antara lain menegaskan bahawa tugas suruhanjaya itu ialah menerima aduan salah laku pegawai penguatkuasa dan agensi secara umumnya dan menjalankan siasatan dan pendengaran tentang aduan seumpama itu.  
 
"Di bawah akta itu, siasatan penuh mesti dijalankan oleh sebuah pasukan petugas. Tetapi malangnya suruhanjaya itu tidak pernah menubuhkan sebarang pasukan petugas, dan siasatan penuh dilakukan oleh pegawai penyiasat," katanya.


Turut membentangkan kertas di forum itu ialah bekas ketua setiausaha negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan bekas naib pengerusi SUHAKAM, Datuk Dr Khaw Lake.

Sidek dalam kertasnya berkata budaya integriti harus dijadikan sifat kekal dan perlu diterapkan pada setiap orang di negara ini.  

"Sebagai sebuah negara yang agama rasminya adalah Islam dan dengan kebudayaan timur yang menitik beratkan nilai-nilai murni, kita sepatutnya tidak ada masalah dengan integriti.

"Isu ini sepatutnya lebih menghantui negara-negara barat yang lebih liberal," katanya.
BERNAMA

Comments

Popular Posts