Followers

KENYATAAN YAB KM SABAH

Kenyataan Y.A.B. Ketua Menteri Sabah dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman-Arahan Semakan Segera Tatacara Perolehan, Pemantauan dan Pengurusan Kewangan Jabatan dan Agensi Kerajaan berkaitan peruntukan di luar Bajet Negeri.

Saya telah memanggil dan menerima taklimat awal daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah (SKN) dan Setiausaha Tetap (SUT) Kementerian Kewangan Sabah berhubung siasatan ke atas beberapa orang pegawai di sebuah jabatan di bawah Kerajaan Negeri Sabah.

Susulan daripada taklimat tersebut, saya telah mengarahkan SKN dan SUT untuk membuat semakan lanjut pada kadar segera. Semakan lanjut ini tidak akan menyentuh dan mengganggu siasatan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), namun untuk memastikan pengurusan dan tatacara kewangan yang teratur dan mematuhi peraturan di semua peringkat. Semakan akan berfokus kepada tatacara perolehan dan pemantauan bukan sahaja jabatan yang berkenaan, tetapi semua jabatan dan agensi negeri yang terlibat menguruskan peruntukan di luar Bajet Kerajaan Negeri dan disalurkan melalui kementerian, jabatan dan agensi luar.

Pada masa yang sama, saya meminta semua pihak memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM). Jangan bertindak mendahului SPRM termasuk membuat sebarang kenyataan yang boleh mengganggu siasatan yang dijalankan oleh pihak SPRM.

Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam agenda memerangi rasuah dan sentiasa meletakkan pematuhan integriti sebagai prinsip utama dalam setiap aspek termasuk pengurusan kewangan negeri.

=Tamat=

No comments:

Post a Comment