AKTA SUMBANGAN DAN PERBELANJAAN POLITIK TIDAK HARUS TUMPU KEPADA SUMBANGAN JUMLAH BESAR : DARD
Cadangan untuk memperkenalkan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik tidak harus tertumpu kepada sumbangan jumlah besar, kata Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Rahman Dahlan.
"Ceramah mingguan pembangkang yang melibatkan kutipan derma dengan mengedarkan "tin Milo" untuk mengumpul derma daripada para hadirin juga perlu dikaji.
Di samping itu, kempen derma melalui tajaan majlis makan juga perlu diambil kira. Mungkin setiap sumbangan adalah kecil tetapi oleh kerana jumlahnya besar, angka terakhir mungkin besar dan boleh mencecah berjuta-juta dalam satu tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jawatankuasa Perundingan Kebangsaan mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) hari ini menggariskan 32 perkara termasuk memperkenalkan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik untuk meningkatkan integriti dan pembiayaan politik.
Pengerusinya Datuk Paul Low Seng Kuan, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri dilaporkan berkata cadangan itu akan dibawa kepada Kabinet dalam tempoh dua minggu akan datang sebelum dibentangkan di Parliament untuk dibahaskan dan diluluskan.
Abdul Rahman yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata undang-undang yang sama dicadangkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 tetapi malangnya pembangkang menolaknya bulat-bulat atas sebab-sebab yang hanya diketahui oleh mereka.
"Ia amat mengecewakan kerana pihak pembangkang menggambarkan diri mereka sebagai telus. Idea itu diilhamkan oleh tidak lain dan tidak bukan oleh Perdana Menteri sendiri," .
Abdul Rahman berkata beliau beliau berpendapat bahawa pembaharuan yang dicadangkan itu akan menyaksikan pemimpin pembangkang berkubur lebih awal.
Abdul Rahman berkata rasuah semasa pilihan raya bukan hanya tentang wang, tetapi menabur janji secara berlebihan kepada pengundi juga boleh menjadi satu bentuk rasuah.
"Pembangkang memang terkenal dengan amalan ini. Mereka suka menjanjikan bulan dan bintang tanpa mengambil kira akibat buruk kepada ekonomi dan masa depan negara. Siapa pula yang akan memantaunya?," kata beliau.
Beliau berkata memberi tumpuan semata-mata kepada pembiayaan politik tidak akan berlaku adil kepada usaha kita untuk meningkatkan ketelusan proses pilihan raya di negara ini.
"Ironinya ialah oleh kerana BN adalah kerajaan, rakyat secara automatik fikir bahawa BN adalah pembuli besar. Ini tidak benar. Realitinya pembangkang ialah pembuli besar selama ini melalui kempen memburuk-burukkan kerajaan yang penuh dengan pembohongan dan mereka-reka cerita," katanya.
-- BERNAMA
Comments
Post a Comment