RAKYAT TIDAK BENCI UMNO SEBALIKNYA BENCIKAN TINGKAH LAKU SESETENGAH PEMIMPIN: TPM


JELI:  Bukan UMNO yang dibenci rakyat sebaliknya tingkah laku sesetengah pemimpin di dalam parti Melayu itu yang tidak disukai rakyat.

Menurut Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, tingkah laku sesetengah pemimpin di semua peringkat tidak disukai rakyat, sehingga terpalit pada parti.

‎"Rakyat tidak benci pada UMNO tetapi benci pada tingkah laku sesetengah pemimpin UMNO. Sama ada di peringkat Bahagian, Negeri dan atas, kita kena jaga tingkah laku kita.

‎"Oleh kerana peri laku sesetengah pemimpin mementingkan peribadi, menyebabkan UMNO rosak. UMNO sebagai institusi rosak disebabkan individu yang memimpin di peringkat Cawangan, Bahagian. Kita (ahli UMNO) harus muhasabah dan sedar gerak kerja penting. 26 tahun kita sengsara ada duri dalam daging dalam UMNO, cabutlah duri itu, jangan dicampak kepada kawan. Kali ini kita tarik semula mereka bersama kita," ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat  dan perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Jeli di Pusat Dakwah Jeli, Pondok Moden di sini hari ini.

Datuk Seri Ahmad Zahid menambah, sikap seperti "cah keting" merasakan diri hebat dan ingin menonjol dengan menjatuhkan orang lain merupakan sikap yang merosakkan parti dan menjadi duri dalam daging.

Sehubungan itu katanya, sifat merasakan diri hebat perlu dikikis kerana dalam UMNO semua pihak memerlukan antara satu sama lain.

Ahli parti juga diminta menanam kepercayaan antara satu sama lain ‎dengan meletakkan kebersamaan dalam semua perkara.

Dalam pada itu, Datuk Seri Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, menyarankan agar UMNO Kelantan‎ agar memberikan perhatian kepada pengundi tempatan yang mewakili 85 peratus pengundi berdaftar di Kelantan.- ASTRI AWANI

Comments

Popular Posts