OLIMPIK RIO 2016: PENCEN SEUMUR HIDUP UNTUK PANDELELA- JUN HOONG


RIO DE JANEIRO:  Gandingan penerjun negara, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong akan berkongsi ganjaran RM600,000 serta pencen bulanan RM3,000 seorang sebagai ganjaran atas kejayaan memenangi pingat perak Sukan Olimpik Rio.

Di bawah skim insentif Majlis Sukan Negara (MSN) untuk Olimpik, pemenang pingat emas akan menerima RM1 juta dan pencen bulanan RM5,000, perak pula RM600,000 dan pencen bulanan RM3,000 manakala gangsa RM100,000 serta pencen bulanan RM2,000.

Pasangan itu meraih pingat perak acara 10 meter platform seirama wanita, untuk pingat pertama negara di Sukan Olimpik Rio, selepas mengumpulkan 344.34 mata di belakang pemenang emas dari China manakala gandingan Kanada mendapat gangsa.

Pandelela sebelum ini menjadi atlet wanita pertama Malaysia memenangi pingat di Sukan Olimpik apabila mendapat gangsa dalam acara 10m platform individu di edisi London, empat tahun lepas.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata Pandelela dan Jun Hoong akan berkongsi sama rata hadiah wang tunai RM600,000 itu manakala pencen bulanan itu akan bermula serta-merta.

Ditanya sama ada pemenang dua pingat Olimpik, Pandelela akan menerima dua pencen berbeza, Ahmad Shapawi menjelaskan atlet itu akan menerima satu sahaja iaitu jumlah tertinggi antara pingat perak dan gangsa yang diperolehnya.

Selain Pandelela, Datuk Lee Chong Wei juga adalah pemenang dua pingat perak Sukan Olimpik selepas menang secara berturut-turut pada edisi 2008 di Beijing dan 2012 di London. - ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts