CUKUPLAH, SELESAIKAN MASALAH DALAMAN: NAIB PRESIDEN UMNO


BERA:  Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa pimpinan UMNO di setiap peringkat supaya menyelesaikan sebarang masalah dalaman yang dialami jika mahu parti kekal memerintah negara pada masa akan datang.

Naib Presiden UMNO itu berkata mereka perlu mengambil iktibar daripada sejarah dunia dan negara sendiri yang menyaksikan banyak kuasa besar seperti Rusia, Belanda, Perancis dan Empayar Kesultanan Melayu Melaka yang jatuh disebabkan permasalahan dalaman.

Malah UMNO dan Barisan Nasional (BN) sendiri, katanya pernah kehilangan kuasa di Perak, Terengganu dan Kelantan hanya disebabkan pergolakan dalaman akibat rasa tidak puas hati dengan pucuk pimpinan.

"Cukup-cukuplah ... belajarlah daripada pengalaman dunia, selesaikanlah masalah dalaman. Jangan layan rasa marah dan kecewa dalam kalangan kita. Cukup-cukuplah dengan apa yang berlaku.

"Kita tidak mahu ia berlaku lagi di dalam politik UMNO dan BN sebab terlalu mahal harganya yang terpaksa kita tanggung apabila hilang kuasa. Pemimpin ada kelemahan kerana mereka bukan maksum jadi kita terima dan bertolak ansur," katanya semasa merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Bera, di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang yang juga Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang Datuk Seri Sharkar Shamsuddin dan Ketua UMNO Bahagian Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam masa yang sama, Ahmad Zahid yang kini menjalankan tugas sebagai timbalan presiden UMNO turut mengingatkan anggota parti supaya menghindarkan budaya terlalu selesa dengan kuasa yang dipegang pada masa kini.

"Masalah kita adalah budaya terlalu selesa, apabila kita pegang kuasa, maka kita rasa kuasa itu kita punya sampai bila-bila. Macam di Pahang, ini negeri yang kita hormat kerana masih dapat mengekalkan majoriti undi dua pertiga.

"Terengganu yang dapat undi majoriti nipis itu pun bergaduh bagai nak rak, pemimpin yang lama dan baharu bergaduh, selesaikanlah masalah itu ... nak bergaduh tunggu selepas pilihan raya umum.

"Semua ini nak menempah kejatuhan, masalah dalaman selesaikanlah, kalau dah jadi (hilang kuasa) barulah padan muka engkau, padan muka aku.

"Kita kena ingat sejarah Kelantan yang kini lebih 23 tahun diperintah oleh PAS. Dahulu Kelantan kita (BN) punya, namun disebabkan masalah dalaman, orang UMNO kononnya banyak kelemahan dan kononnya nak ajar satu penggal sahaja, akhirnya sampai sekarang kita tidak mampu rampas kembali negeri itu," katanya.

Ahmad Zahid  berkata usaha untuk mempertahankan kuasa bukan hanya perlu melibatkan pimpinan negeri tetapi juga perlu bermula dari bawahan lagi iaitu cawangan, pusat daerah mengundi (PDM), bahagian dan perhubungan negeri.

"Kalau ketua cawangan pun bergaduh dengan timbalan, ketua Pemuda pun bergaduh dengan ketua Puteri, kemudian risau takut tempat kita diambil alih orang, PDM dengan PDM bergaduh, macam mana nak terus kekal berkuasa.

"Jangka hayat parti dalam 10 tahun memang mesti ada krisis tetapi jika daya saing dan daya juang kita tinggi, semua masalah ini akan berjaya kita hadapi," katanya.

Katanya jentera parti juga perlu kerap turun padang untuk mengukuhkan kembali keyakinan rakyat kepada UMNO terutama dalam kalangan golongan muda. - ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts