H1N1: Langkah tutup universiti perlu dikaji semula

SHAH ALAM, 29 Julai - Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah berharap Kementerian Kesihatan mengkaji semula langkah penutupan universiti berikutan jangkitan selesema babi atau Influenza A (H1N1).

Beliau berkata, langkah penutupan itu kurang sesuai kerana menyukarkan tugas harian pihak pengurusan universiti termasuk bahagian keselamatan yang perlu memastikan keadaan bangunan sentiasa selamat.

“Ini kerana pengawal keselamatan dan pengarah kampus UiTM ada kerja masing-masing. Sepatutnya mereka boleh masuk dan bekerja seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan delegasi Persatuan Alumni UiTM di pejabatnya di UiTM di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penutupan sementara empat kampus UiTM iaitu di Lendu, Melaka, Sri Iskandar (Perak), Permatang Pauh (Pulau Pinang) dan terbaru di Dungun (Terengganu) akibat H1N1.

Mengenai cuti semester UiTM yang diawalkan bermula Isnin lepas sehingga 2 Ogos ini, Ibrahim berkata, langkah itu lebih baik berbanding penutupan sementara kerana ia tidak mengganggu proses kerja UiTM.

- BERNAMA

Comments

Popular Posts