ANAK TAK SAH TARAF MENGIKUT HUKUM SYARA’

. 1
Dato’ Setia Hj. Mohd. Tamyes bin Abd. Wahid
Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Negeri Selangor.

Pendahuluan.

Fenomena anak tak sah taraf di Malaysia seakan-akan sudah menjadi masalah sosial yang lumrah dan tidak asing lagi kepada masyarakat kita. Ini kerana perkara ini sudah terlaku kerap berlaku. Kisah-kisah tentang pembuangan bayi terpampang di dada akhbar, sementara kes-kes ibu hamil tanpa nikah yang berada di pusat pemulihan semakin bertambah dari semasa ke semasa. Perkara ini disokong dengan statistik pendaftaran kelahiran anak luar nikah2 dari Jabatan Pendaftaran Negara bagi tahun 1999 hingga 2003 mencatatkan bilangan yang sangat besar, iaitu 70,430 orang. Negeri Selangor mencatatkan jumlah yang tertinggi, iaitu seramai 12,836 orang, diikuti Perak (9,788), Kuala Lumpur (9,439), Johor (8,920), Sabah (8,435), Negeri Sembilan (4,108), Pahang (3,677), Kedah (3,496), Pulau Pinang (3,412), Melaka (2,707), Kelantan (1,730), Perlis (691), Sarawak (617) dan Terengganu (574) orang.
Statistik pendaftaran anak luar nikah mengikut bangsa pula didahului oleh Melayu/Bumiputera Sabah dan Sarawak sebanyak 20,949 orang, India sebanyak 19,581 orang, Cina sebanyak 18,111 orang dan kaum-kaum lain sebanyak 11,789 orang. Manakala statistik pendaftaran mengikut pecahan agama pula, orang Islam mencatat bilangan tertinggi yang mendaftarkan anak luar nikah seramai 30,978 orang, penganut Hindu seramai 18,085 orang,

1 Kertas kerja ini dibentangkan pada Seminar Penolong Pendaftar Nikah Daerah Hulu Selangor, 28 November 2007, di Petaling Jaya, Selangor.
2 Kanak-kanak yang dikategorikan sebagai anak tak sah taraf bagi maksud pendaftaran kelahiran adalah kanak-kanak yang dilahirkan oleh pasangan (ibu bapa) yang tidak berkahwin tetapi maklumat bapanya dimasukkan ke dalam Daftar dan Sijil Kelahiran Kanak-kanak; takrif oleh Jabatan Pendaftaran Negara.
1
penganut Buddha seramai 17,236 orang, penganut Kristian seramai 3,395 orang dan seramai 736 orang didaftarkan mengikut agama lain-lain.
Statistik atau fakta yang dipaparkan ini sebenarnya lebih tinggi dari yang sedia ada sekiranya mengambil kira kes-kes yang melibatkan pengguguran haram dan pembuangan bayi yang dipaparkan di media dan tidak direkodkan.
Persoalan yang sering ditimbulkan adalah bagaimana hendak mengatasi perbuatan seperti ini? Terdapat pandangan yang mengatakan supaya dilaksanakan hukuman hudud. Sebaliknya, ada pula yang menyarankan supaya diwujudkan tempat atau sebuah pusat penyerahan bagi bayi yang tidak dikehendaki. Jika dipilih cara yang pertama, maka banyak liku yang perlu diharungi, contohnya adakah mudah untuk memperolehi empat orang saksi seperti mana yang disyaratkan. Sedangkan bayi yang tidak berdosa terus dilahirkan di luar nikah, adakalanya ia dibuang malahan ada pula yang dibunuh.
Sekiranya kita memilih cara yang kedua, jika tersilap langkah atau pertimbangan ia boleh dan akan menjadi galakan kepada perbuatan zina kerana para penzina tidak perlu risau jika berlaku hamil luar nikah kerana sudah tersedia ruang dan tempat bagi menempatkan bayi yang tidak dikehendaki. Penyelesaian sesuatu masalah sosial yang berlaku tidak boleh diambil melalui jalan yang singkat dan semudah seperti yang disangka. Ia perlu dilihat dari keseluruhan aspek dengan melibatkan pendekatan agama serta pembangunan insan dan pembentukan masyarakat yang beretika dan baik.
Perzinaan dan Kehamilan Luar Nikah Menurut Undang-undang Di Malaysia.
Perzinaan menurut hukum syara’ secara umumnya adalah perhubungan seks antara lelaki dan perempuan yang dilakukan di luar ikatan perkahwinan yang sah atau persetubuhan syubhah sama ada dengan kerelaan atau paksaan. Dalam Kanun Keseksaan, tidak terdapat tafsiran mengenai perbuatan zina. Oleh itu, perzinaan dianggap bukanlah suatu jenayah kerana terdapat unsur
2
kerelaan. Berbeza dengan perbuatan rogol yang dianggap sebagai satu kesalahan dan jenayah kerana terdapat unsur paksaan dan mangsa dalam perbuatan tersebut.
Definisi Anak Tak Sah Taraf.
Anak tak sah taraf dalam istilah bahasa Arab disebut walad al-zina3 yang bermaksud anak zina atau anak luar nikah. Berdasrkan perbincangan para fuqaha tentang nasab seseorang anak, secara umumnya dapatlah dirumuskan bahawa anak zina adalah merujuk kepada anak yang dilahirkan hasil perzinaan dan bukan dari perkahwinan yang sah atau pun persetubuhan syubhah.4
Menurut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor, istilah anak tak sah taraf adalah satu istilah yang digunakan bagi anak yang tidak mempunyai nasab atau hubungan darah yang sah dan sama, peruntukan undang-undang menyatakan:
‘tak sah taraf berhubungan dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah’.5
Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 juga mempunyai peruntukan yang sama.6 Terdapat juga peruntukan yang sama dalam Enakmen Undang-undang Keluarga di negeri-negeri lain di Malaysia, contohnya di Kelantan, Melaka, Perlis, Perak, Pulau Pinag, Johor, Kedah dan Sarawak.7 Ini bermakna, pengertian anak tak sah taraf dalam
3 Hans Wehr, A Dictionary of Modern Written Arabic, Library Du Liban, Beirut, 1980.
4 Al-Nasab wa Atharuhu, Muhammad Yusuf Musa, Edisi 2, Dar al-Ma’rifah, Kaherah 1967, m.s. 7-20. Persetubuhan syubhah adalah merujuk kepada persetubuhan oleh lelaki dan perempuan yang menyangka mereka adalah suami isteri yang sah. Lihat al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah wa al-Bayt al-Muslim fi al-Syariah al-Islamiyyah, Dr. Abd. Karim Zaydan, Vol. 9, Muassasah al-Risalah, t.tp, t.t, m.s. 341-344.
5 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) No. 2, 2003, s.2.
6 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan), 1984, s.2.
7 Lihat Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kelantan, No. 2, 2002, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Melaka, No. 12, 2002, Enakmen Pentadbiran Undang-undang Keluarga Islam Perlis, No. 4, 1992, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Perak, No. 13, 1984, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Pulau Pinang, No. 2, 1985, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Johor, No. 5, 1990, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kedah, No. 1, 1979, Enakmen Undang-undang 3
peruntukan undang-undang negeri di Malaysia adalah selari dengan definisi anak tak sah taraf mengikut hukum syara’.
Menurut Fatwa Garis Panduan Anak Tak Sah Taraf Menurut Hukum Syara’ di Negeri Selangor yang telah diwartakan pada 28 April 2005, singhah berkaitan anak tak sah taraf menurut hukum syara’, adalah:
1. Anak yang dilahirkan tanpa nikah sama ada hasil daripada zina, rogol atau melalui cara saintifik yang bertentangan dengan hukum syara’.
2. Anak yang dilahirkan kurang daripada enam bulan dua lahzah qamariah dari waktu ‘imkad ad-dukhul’ dan bukan hasil daripada persetubuhan syubhah.
3. Anak yang dilahirkan lebih daripada enam bulan dua lahzah qamariah dari waktu ‘imkad ad-dukhul’ selepas akad yang sah dan ada bukti dari segi syara’ bahawa anak tersebut ialah anak tanpa nikah melalui iqrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri tersebut atau salah seorang daripadanya), atau empat orang saksi yang memenuhi syarat-syarat hukum syara’.8
Peruntukan Tentang Kesahtarafan Anak.
Terdapat juga peruntukan tentang kesahtarafan anak dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan tentang siapakah yang dikaitkan sebagai bapa, iaitu:
‘Jika seseorang perempuan yang berkahwin dengan seseorang lelaki melahirkan seorang anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya itu atau dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinannya itu dibubarkan sama ada oleh sebab perceraian, dan
Keluarga Islam (Negeri Selangor) , No. 2, 2003 dan Islamic Family Law Ordinance Sarawak, Chap. 43, 2001.
8 Warta Kerajan Negeri Selangor No. 9, Jil. 58, [Mufti Sel. 500-2; PU. Sel. AGM. 0007 Jld.2].
4
perempuan itu pula tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu, tetapi lelaki itu boleh, dengan cara li’an atau kutukan, menafikan anak itu sebagai anaknya di hadapan mahkamah’.9
Peruntukan ini mengaitkan hubungan bapa dengan anaknya sekiranya anak tersebut lahir dari perkahwinannya dengan seorang wanita selepas enam bulan perkahwinan mengikut tahun hijri atau dalam masa empat tahun selepas perceraian. Anak yang lahir dalam jangka masa yang tersebut dikira sebagai sah tarafnya melainkan sibapa menafikan nasab anak tersebut di mahkamah.
Terdapat juga peruntukan lain yang menyatakan tentang anak yang disifatkan tak sah tarafnya, iaitu:
‘Jika anak itu dilahirkan lebih daripada empat tahun qamariah selepas perkahwinan itu dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian, lelaki itu tidak boleh disifatkan sebagai bapa anak itu melainkan jika lelaki itu atau mana-mana warisnya menegaskan bahawa anak itu adalah anak lelaki itu’.10
Peruntukan yang sama terdapat dalam kebanyakan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri-negeri lain.11 Walaubagaimanapun di negeri Kedah dan Perlis, ia memperuntukkan peruntukan yang berbeza mengenai anak yang dilahirkan selepas perceraian, iaitu sekiranya seorang anak dilahirkan selepas perceraian, anak itu hanya sah tarafnya jika ia dilahirkan dalam masa satu tahun selepas perkahwinan dibubarkan.12
9 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, s.111.
10 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, s.112.
11 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kelantan 2002, s.111 & 112, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Melaka 2002, s.111 & 112, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Perak 1984, s.106 & 107, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Pulau Pinang 1985, s.110 & 111, Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) s.110 & 111 dan Islamic Family Law Ordinance Sarawak 2001, s.114 & 115.
12 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kedah 1979, s.99 & 100 dan Enakmen Pentadbiran Undang-undang Keluarga Islam Perlis 1992, s.109 & 110.
5
Sekiranya seorang anak lahir selepas tamat tempoh ‘iddah, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, memperuntukkan:
‘Jika seorang perempuan, yang tidak berkahwin semula, membuat satu pengakuan bahawa tempoh ‘iddahnya telah tamat, sama ada ‘iddah itu adalah oleh sebab kematian atau perceraian, dan perempuan itu kemudiannya melahirkan seorang anak, maka suami perempuan itu tidak boleh disifatkan sebagai bapa anak itu melainkan jika anak itu telah dilahirkan kurang daripada empat tahun qamariah dari tarikh perkahwinan itu dibubarkan oleh sebab kematian suaminya atau oleh sebab perceraian’.13Kedudukan dan Hak Anak Tak Sah Taraf Menurut Hukum Syara’.
Pada umumnya, para fuqaha’ semua mazhab bersependapat bahawa seseorang anak yang pembenihannya dan kehamilannya itu berlaku sebelum pernikahan kedua ibu bapanya adalah anak hasil daripada perzinaan dan anak tersebut adalah anak tak sah taraf. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa persoalan yang perlu dilihat secara lebih terperinci.
Menurut pendapat Mazhab Hanafi, jika seseorang lelaki berkahwin dengan seorang wanita, kemudian wanita tersebut melahirkan anak dalam tempoh kurang daripada enam bulan dari tarikh pernikahan mereka, anak tersebut tidak boleh dinasabkan kepada lelaki berkenaan kerana pembenihan telah berlaku sebelum nikah, maka ia bukan daripada suaminya. Sekiranya suami tersebut hendak menafikannya, ia hendaklah berli’an kerana nasab boleh disabitkan melalui perkahwinan yang wujud. Li’an hendaklah berdasarkan qazaf tanpa perlu wujudnya anak.14 Walaubagaimanapun, berdasarkan al-Fatawa al-Zahiriyyah, jika seseorang lelaki berzina dengan seorang perempuan yang kemudiannya berlaku pembenihan, apabila ternyata hamil dan lelaki tersebut mengahwininya, maka pernikahan tersebut harus. Jika anak dalam kandungan tersebut lahir dalam tempoh selepas enam bulan atau
13 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, s.113.
14 Mu’in al-Hukkam, Ala’ al-Din Abi al-Hasan Ali bin Khalil al-Trablusiy, cetakan ke -2, Mesir, Sharikah Maktabah wa Matba’ah Mustafa al-Babiy al-Halabiy wa Awladihi, 1973, m.s. 332.
6
lebih, maka anak tersebut dinasabkan kepada lelaki tersebut. Sebaliknya, jika dilahirkan kurang daripada enam bulan, maka tidak dinasabkan anak tersebut kepadanya kecuali jika ia mengaku bahawa anak itu adalah anaknya dan bukan dari hasil perzinaan.15
Menurut pendapat Mazhab Syafie,16 jika dikahwini seorang wanita yang hamil dari perzinaan, kemudian ia melahirkan anak yang sempurna tempohnya (term baby), maka terdapat empat keadaan mengenainya. Pertama, sama ada suami menafikan anak tersebut zahir dan batin tanpa melakukan li’an iaitu anak yang dilahirkan kurang daripada tempoh enam bulan daripada berlaku perhubungan suami isteri selepas akad nikah atau lebih daripada empat tahun dari tarikh terakhir berlaku perhubungan suami isteri.
Kedua, sama ada dihubungkan anak dengan suami tersebut dan sabit bagi anak tersebut hukum perwarisan dan selainnya secara zahir, yang sepatutnya menafikannya kerana anak tersebut lahir lebih daripada masa enam bulan dan kurang daripada empat tahun. Suami tersebut mengetahui atau berat sangka bahawa anak itu bukan daripada benihnya kerana ia tidak menyetubuhi isterinya selepas akad dan tidak memasukkan spermanya. Atau anak tersebut dilahirkan kurang daripada enam bulan dari tempoh perhubungan suami isteri, atau lebih daripada empat tahun daripada perhubungan tersebut, atau lebih daripada enam bulan daripada istibra’ dengan sekali pusingan haid dan ternyata isteri tersebut berzina. Maka dalam keadaan sedemikian, suami tersebut berdosa jika tidak menafikan anak tersebut, malah ia suatu dosa besar.
Ketiga, sama ada menghubungkan anak tersebut kepada suami secara zahir tetapi tidak perlu menafikannya jika suami sangka bahawa anak tersebut adalah daripada benihnya walaupun tanpa sangkaan yang berat. Telah berlaku istibra’ selepas perhubungan suami isteri dan anak tersebut dilahirkan
15 Mu’in al-Hukkam, Ala’ al-Din Abi al-Hasan Ali bin Khalil al-Trablusiy, cetakan ke -2, Mesir, Sharikah Maktabah wa Matba’ah Mustafa al-Babiy al-Halabiy wa Awladihi, 1973, m.s. 333.
16 Bughyah al-Mushtarshidin, al-Sayyid Abd. Rahman bin Muhammad bin Husayn bin Umar, Dar al-Fikr, Beirut, m.sm 386.
7
lebih daripada enam bulan selepas perhubungan suami isteri. Terdapat keraguan mengenai perzinaan isterinya. Dalam keadaan sedemikian, sunat (nadb).
Keempat, sama ada dihubungkan anak tersebut kepada suami dan haram menafikannya jika berat sangkaan anak tersebut adalah dari benihnya. Atau pun terdapat dua perkara yang sama iaitu anak tersebut lahir setelah enam bulan dan lebih sehingga empat tahun daripada berlakunya perhubungan suami isteri serta tidak berlaku istibra’ selepas itu. Atau berlaku istibra’ tetapi anak tersebut dilahirkan kurang daripada enam bulan, maka dihubungkan melalui firash (perkahwinan yang sah).
Terdapat perbezaan pendapat mengenai anak zina yang dilahirkan tanpa firash, maksudnya ibu kepada anak tersebut tidak berada dalam ikatan perkahwinan. Jumhur ulama’ berpendapat bahawa tidak harus disambungkan nasab anak zina dengan bapa biologinya. Manakala terdapat segelintir ulama’ yang mengharuskannya seperti Muhammad bin Sirrin dan Ibn Taimiyyah serta diperkukuhkan oleh anak muridnya, Ibn Qayyim. Hassan al-Basry dan Ibrahim al-Nakha’iy berpendapat bahawa harus menghubungkan anak zina dengan bapa zinanya setelah dikenakan hukuman hudud.
Sabitan Kebapaan.
Sabitan kebapaan atau thubut al-ubuwwah merupakan sebahagian daripada sabitan nasab. Sebenarnya, sabitan kepada ibu lebih mudah dibuktikan iaitu mengikut mazhab Hanafi, memadai dengan penyaksian seorang wanita ketika kelahiran. Cara sabitan kebapaan menurut pandangan Mazhab Hanafi adalah melalui perkahwinan yang sah, kesaksian dan iqrar.17 Menurut Mazhab Syafie, sabitan nasab boleh ditentukan melalui tiga cara, iaitu melalui kesaksian, iqrar dan istifadah.18 Menurut Dr. Wahbah al-Zuhaili,
17 Mu’in al-Hukkam, Ala’ al-Din Abi al-Hasan Ali bin Khalil al-Trablusiy, cetakan ke -2, Mesir, Sharikah Maktabah wa Matba’ah Mustafa al-Babiy al-Halabiy wa Awladihi, 1973, m.s. 332.
18 Al-Fiqh al-Manhaji, Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha dan Ali al-Sharbaji, juzu’ 4, cetakan 1, Damsyik, Matba’ah al-Sabah, 1987, m.s. 215-217. Kitab al-Adab al-Qadi, Ibn Abi al-Damm al Hamawiy, cetakan 2, Damsyik, Dar-al-Fikr, 1982, m.s. 369-371.
8
maksudnya ialah tersebarnya perkhabaran tentang perkahwinan, penyusuan, kelahiran atau kematian yang disepakati kebenarannya oleh segolongan ramai sehingga ke tahap yakin yang dikenali sebagai syahadah al-sima. Menurut pandangan beliau, syahadah al-sima lebih kuat dari istifadah.19
Sabitan kebapaan seorang anak yang sah taraf lebih mudah disabitkan. Tetapi untuk mensabitkan bapa biologi seseorang anak tak sah taraf perlu terlebih dahulu dipastikan dalam empat perkara. Pertama, ada peruntukan undang-undang yang mewajibkan. Kedua, ada peruntukan undang-undang yang membenarkan. Ketiga, apakah cara yang boleh diterimapakai. Keempat, apakah sabitan hubungan anak dan bapa akan menggugurkan hukuman zina?
Tiada sebarang peruntukan dalam Undang-undang Keluarga Islam yang mewajibkan kepastian bapa biologi bagi seseorang anak yang tak sah taraf. Malahan dalam Undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah juga tidak menetapkan kewajipan memastikan bapa biologi bagi seseorang anak yang dilahirkan luar nikah.
Hubungan biologi antara seorang anak tak sah taraf dengan bapanya tidak pernah diiktiraf bagi menentukan sesuatu hak kecuali pandangan mazhab Hanafi yang melarang perkahwinan antara anak dan bapa biologinya. Oleh itu, hubungan sedemikian tidak dianggap atau diiktiraf sebagai hubungan melalui nikah. Maka tidak ada tempat dalam undang-undang keluarga Islam yang memberi ruang kepada hubungan tersebut. Menempatkan hubungan sedemikian dalam undang-undang keluarga Islam boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat kerana mereka akan beranggapan bahawa hubungan sedemikian diiktiraf oleh syara’.
Pada zaman Rasulullah s.a.w., sabitan nasab pernah dilakukan berdasarkan pendapat qa’if iaitu seorang yang mempunyai kemahiran dalam melihat persamaan urat tapak kaki. Ibn Qayyim berpendapat bahawa qiyafah lebih
19 Fiqh Islami wa Adillatuh, Dr. Wahbah al-Zuhaili, juzu’ 7, cetakan 3, Damsyik, Dar al-Fikr, 1989, m.s. 696.
9
berupa persamaan antara anak dan bapanya yang zahir pada rupa paras, bentuk serta tubuh badan yang diketahui secara khusus oleh qa’if.20 Malahan amalan tersebut diikuti oleh Sayyidina Umar al-Khattab, Abu Musa al-Asy’ari, Ali bin Abi Talib, Ibn Abbas dan Anas bin Malik. Amalan tersebut tidak disanggah oleh para Sahabat. Dalam kalangan imam mazhab yang empat, hanya Imam Abu Hanifah dan sahabat-sahabatnya sahaja yang menolak beramal dengan qiyafah.21 Terdapat dalam kalangan qadhi-qadhi terkenal yang juga ahli qiyafah seperti Iyas bin Muawiyah dan Shurayh bin al-Harith.22
Zaman terus berkembang, dengan kemajuan sains dan teknologi, kini terdapat satu kaedah yang boleh digunakan untuk mensabitkan hubungan biologi seorang anak dengan bapanya. Ujian paterniti atau molekul biologi boleh digunakan sebagai satu cara untuk memastikan bapa kepada seorang anak. Ia dikenali sebagai ujian DNA (Deoxyribonueleic acid). Ujian ini dilakukan untuk mengenalpasti dan membuktikan siapakah bapa biologikal sebenar kepada anak yang dilahirkan. Dari sudut perundangan, ibu, bapa dan anak yang disabitkan perlu menjalani ujian tersebut dengan keizinan bertulis. Sekiranya kanak-kanak itu berumur di bawah 16 tahun, penjaga perlu memberi keizinan bagi mewakili kanak-kanak tersebut. Setiap individu mempunyai 46 kromosom iaitu 23 adalah daripada bapa dan 23 daripada ibu. Kaedah seperti ini memerlukan sel-sel badan daripada anak dan bapa. Sampel akan diambil daripada bendalir mulut. Ketepatan kaedah ujian DNA adalah mencapai 99.999% atau 99,999/100,000. Ini bermakna kemungkinan pertembungan kongruiti (ketidaktepatan) antara anak dan bapa hanya di bawah paras 0.01%.23
20 Al-Turuq al-Hukmiyyah, Ibn Qayyim al-Jawziyyah, Beirut, Dar al-Fikr al-Lubnaniy, 1991, m.s. 204.
21 Al-Turuq al-Hukmiyyah, Ibn Qayyim al-Jawziyyah, Beirut, Dar al-Fikr al-Lubnaniy, 1991, m.s. 193-196.
22 Al-Turuq al-Hukmiyyah, Ibn Qayyim al-Jawziyyah, Beirut, Dar al-Fikr al-Lubnaniy, 1991, m.s. 204.
23 Rujukan - Dr. Zaidun Kamari, Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Juga sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.
10
Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam.
Selain daripada peruntukan undang-undang dan enakmen negeri-negeri, terdapat juga Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang menyatakan tentang status anak yang dikandung ibunya di luar pernikahan yang sah, iaitu:
‘Perempuan yang mengandung anak luar nikah harus dinikahkan tetapi anaknya tidak boleh dinasabkan kepada lelaki itu, tidak dapat pusaka daripadanya, tidak menjadi mahram kepadanya dan lelaki itu tidak boleh menjadi walinya’.
‘Anak zina atau anak luar nikah (anak tak sah taraf) sama ada diikuti dengan perkahwinan kedua pasangan ibu bapanya atau tidak, hendaklah dibin atau dibintikan kepada Abdullah’.
Dari segi tanggungjawab untuk memberi nafkah, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam memberi pandangan:
‘Segala nafkah dan saraan hidup anak tak sah taraf adalah menjadi tanggungjawab ke atas ibunya. Ini adalah kerana anak tak sah taraf dinasabkan kepada ibunya dan tidak kepada lelaki yang menyetubuhi ibunya’.
Garis Panduan Penamaan, Pergaulan dan Hak-Hak Anak Tak Sah Taraf.
Perkara yang akan dibincangkan dalam kertas ini seterusnya adalah bertujuan untuk dijadikan sebagai asas rujukan dalam menentukan kesesuaian penamaan anak tak sah taraf menurut syariat Islam. Selain daripada itu, ia juga bertujuan memberi kefahaman dan penjelasan kepada semua pihak berkenaan aspek-aspek pergaulan serta implikasi sosial anak tak sah taraf dalam keluarga dan masyarakat.
11
Dari sudut penamaan anak tak sah taraf, jika seseorang perempuan Melayu beragama Islam bersekedudukan tanpa nikah dengan pasangannya sama ada lelaki tersebut Islam atau bukan Islam dan melahirkan anak, maka anak tersebut hendaklah dibin atau dibintikan dengan Abdullah atau lain-lain nama asma’ al-husna berpangkalkan Abdul. Seseorang anak tak sah taraf atau anak luar nikah tidak wajar dibin atau dibintikan kepada ibu anak tersebut kerana ia mungkin akan menimbulkan masalah sosial dan kesan psikologi kepada anak tersebut.
Seseorang anak yang dijumpai terbiar atau anak pungut yang tidak diketahui asal-usulnya hendaklah dibin atau dibintikan kepada Abdullah, sekiranya nama Abdullah itu bersamaan dengan nama orang yang memelihara anak tersebut, maka bolehlah dipilih nama ‘Asma’ al-Husna’ yang berpangkalkan Abdul seperti Abdul Rahman dan Abdul Rahim.
Dalam konteks pergaulan pula, anak tak sah taraf tidak boleh dihalang daripada menjalinkan apa-apa hubungan atau menjalankan aktiviti yang boleh dijalinkan atau dijalankan dengan seseorang kanak-kanak Islam lain yang sah tarafnya. Pergaulan anak tak sah taraf dengan lelaki yang telah melakukan persetubuhan tanpa akad nikah dengan ibunya, walaupun lelaki tersebut adalah bapanya yang sebenar, hendaklah berasaskan pergaulan di antara anak tiri dan bapa tiri. Jika anak tak sah taraf itu ialah seorang perempuan, maka wudhu’nya dan wudhu’ suami ibunya, samada si suami itu adalah bapanya yang tidak sah atau pun lelaki lain, maka tidak terbatal wudhu’nya kerana menurut pandangan hukum syara’ suami ibunya itu adalah sebagai bapa tirinya.
Perhubungan antara nak tak sah taraf dengan anak-anak sebelah ibunya yang sah taraf dan ahli keluarga sebelah ibunya yang lain adalah hubungan kekeluargaan yang sah, tetapi perhubungan ini tidak boleh diperluaskan kepada keluarga sebelah bapanya yang tidak sah itu.
12
Implikasi Anak Tak Sah Taraf Dari Segi Hukum Syara’.
Dari sudut hubungan nasab (keturunan), anak tak sah taraf tidak harus dibin atau dibintikan kepada lelaki yang menyetubuhi ibunya. Dia hendaklah dibin atau dibintikan dengan Abdullah atau salah satu nama asma’ al-husna atau sifat Allah seperti yang telah dinyatakan.
Segala nafkah dan saraan hidup anak tak sah taraf adalah menjadi tanggungjawab ke atas ibunya. Ini adalah kerana anak tak sah taraf itu dinasabkan kepada ibunya, tidak kepada lelaki yang menyetubuhi ibunya.
Anak tak sah taraf tidak terputus hubungan keturunan dengan ibunya. Oleh itu, kedua-duanya boleh mewarisi pusaka di antara satu sama lain. Sekiranya ibunya meninggal dunia, maka ia mempunyai hak untuk mewarisi pusaka ibunya bersama-sama ahli waris yang lain. Begitu juga sekiranya anak tak sah taraf itu meninggal dunia terlebih dahulu, maka ibunya berhak untuk mewarisi pusakanya. Seseorang anak tak sah taraf adalah terputus hubungan dari segi pusaka dengan bapanya yang tak sah taraf dan ia tidak menjadi ahli waris dan tidak berhak untuk mewarisi pusaka bapanya, begitu juga sebaliknya bapanya tidak berhak untuk mewarisi pusakanya.
Hak perwalian diri anak tak sah taraf sebenarnya terletak kepada ibunya. Walau bagaimanapun, perwalian perkahwinan seseorang anak tak sah taraf perempuan dipegang oleh wali hakim. Ini kerana seseorang perempuan tidak sah menjadi wali di dalam apa jua perkahwinan. Lelaki yang menyetubuhi ibunya sebelum akad nikah yang sah, samada ia (lelaki) berkahwin atau tidak dengan ibunya selepas itu, tidak sah menjadi walinya.
Bagi perkahwinan pula, seseorang anak tak sah taraf perempuan boleh berkahwin dengan seseorang lelaki yang sah. Berhubung dengan penjagaan anak tak sah taraf, ia adalah dipertanggungjawabkan semata-mata kepada ibu dan saudara-mara sebelah ibunya.
13
Kematian seseorang anak tak sah taraf yang belum baligh adalah menurut hukum agama ibunya. Jika ibunya beragama Islam, maka ia dihukum sebagai seorang yang beragama Islam. Dengan demikian, mayatnya hendaklah diurus secara pengurusan jenazah Islam. Sekiranya ibunya bukan seorang yang beragama Islam, maka ia dihukum sebagai seorang yang bukan beragama Islam, sekalipun lelaki yang menyetubuhi ibunya itu seorang yang beragama Islam.
Jika semasa hayatnya, anak tak sah taraf telah melakukan amal kebajikan sama ada untuk diri sendiri ataupun untuk masyarakat, maka segala manfaatnya dari segi ganjaran Allah s.w.t. dan lain-lain akan kembali kepada dirinya jua. Jika seseorang anak yang dipungut dan tidak dapat ditentukan keturunannya iaitu sama ada Islam ataupun bukan Islam, maka adalah menjadi tanggungjawab pihak pentadbir (kerajaan) membesarkannya, menjaga kebajikannya serta mendidiknya menurut agama Islam kerana bersandarkan kepada majoriti rakyat sesebuah negara itu yang beragama Islam.
Penutup.
Permasalahan berkaitan anak tak sah taraf adalah akibat perubahan sikap terhadap perkahwinan. Perkembangan ini jika dibiarkan akan menggugat kesucian ikatan perkahwinan dan meletakkan institusi keluarga dalam keadaan yang tidak dikawal oleh peraturan dan nilai-nilai akhlak. Perkembangan ini sebenarnya merupakan masalah yang sangat serius. Pengetahuan mengenai Islam hendaklah disebarkan dengan seluas-luasnya dan gerakan dakwah hendaklah diperhebatkan.
Masyarakat Islam hendaklah menyedari bahawa institusi keluarga dan syariat perkahwinan wajib dipertahankan kerana punca terbesar keruntuhan sesuatu masyarakat berpunca daripada kehancuran institusi keluarga dan sikap terhadap perkahwinan. Apabila keluarga telah runtuh tanggungjawab memelihara dan mengawal rakyat terserah kepada pemerintah. Sedangkan bagaimana cekap sekalipun sesebuah kerajaan, ia tidak berupaya
14
menjalankan tugas-tugas kekeluargaan seperti memelihara, mendidik dan memberi kasih sayang kepada anak-anak. Tanpa didikan yang sempurna dan bimbingan yang wajar, anak-anak ini akan menjadi generasi yang pincang.
15

Comments

Popular Posts