UMNO TIDAK BOLEH KOMPROMI ELEMEN YANG JATUHKAN IMEJ PARTI: IRMOHIZAM


KUALA LUMPUR:  UMNO tidak boleh berkompromi dengan mana-mana elemen yang boleh menjatuhkan imej parti, ujar Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Irmohizam Ibrahim.


Tegasnya, ia merupakan disiplin bagi setiap anggota yang perlu dipatuhi bagi parti keramat Melayu itu terus dihormati.

"Saya melihat seruan Datuk Nalla (Senator Datuk Seri S. Nallakaruppan) sebagai seorang pemimpin yang bukan Melayu yang amat mengharapkan kekuatan parti UMNO dalam era politik negara ada kebenarannya dan memperlihatkan kerisauan beliau yang UMNO akan hancur kalau pemimpin dan ahlinya tidak bersatu padu di bawah kepimpinan presiden," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, institusi Presiden wajib dipertahankan kerana dalam ajaran Islam prinsip mentaati pemimpin wujud dan menjadi satu seruan agama.

"Ini kerana masyarakat memerhati dan menilai pada setiap tindak tanduk serta pandangan yang dilontarkan," jelas beliau.

Justeru, Perhimpunan Agung UMNO kali ini penting untuk memberikan sokongan kepada pucuk pimpinan parti yg menjadi teras kepada kerajaan persekutuan.

"Segala perbincangan dan perbahasan merupakan medan kita bermuhasabah mengenai hala tuju syiar Islam dan masa depan Melayu. UMNO harus menjadi parti yang menunjangi orang Melayu dan Islam berbanding parti-parti lain kerana perjuangan dan falsafah seiring dengan asas kenegaraan dan Perlembagaan Persekutuan.

Irmohizam yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, ancaman yang datang dari dalam dan luar negara boleh menghakis apa yang telah diperjuangkan UMNO sejak awal kemerdekaan lagi.

"Jangan kita tewas dengan agenda permainan persepsi yang saya anggap persepsi keganasan yang boleh menghilangkan segala kewarasan dan rasional seseorang dalam membuat penilaian dan tindakan," tambahnya.- ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts