SUARA UiTM BERGEMA PADA PERHIMPUNAN AGUNG UMNO: AB RAUF


KUALA LUMPUR:  Perhimpunan Agung UMNO tahun ini menampilkan kelainan dengan menggunakan tenaga pelajar jurusan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai okestra persembahan.


Setiausaha Kerja UMNO Datuk Ab Rauf Yusoh berkata, ia tanda penghargaan parti kepada universiti bumiputera yang terhasil dari kesungguhan orang Melayu untuk melihat anak bangsa berjaya dalam pelajaran.

"Gema lagu Negaraku, lagu parti dan lagu-lagu lain yang membangkitkan semangat perwakilan dari seluruh negara pada perhimpunan itu nanti akan diiringi barisan pelajar berkenaan. Ini adalah pertama kali UMNO guna tenaga-tenaga pelajar ini.

"Mahasiswa berkenaan adalah tanda kekuatan Melayu. Semua persembahan akan diwakili mereka sekali gus memberi dimensi istimewa seiring perjuangan parti.

"Mereka semua begitu bersemangat dan tidak sabar menanti masa untuk membuat persembahan. Saya sendiri teruja apabila melihat raptai mereka baru-baru ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Perhimpunan Agung UMNO pada 8 hingga 12 Disember ini akan disertai 5,738 perwakilan yang terdiri daripada 2,762 perwakilan perhimpunan agung, 993 perwakilan pergerakan Wanita, 992 (Pemuda) dan 991 (Puteri).

Taklimat presiden pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini akan diadakan pada sebelah malam, 8 Disember dan bukannya pada petang seperti kebiasaan.

Dalam pada itu kata Abd Rauf, beberapa konsep termasuk tema pentas turut diubah kepada ciri tradisional.

"Perhimpunan kali ini cukup istimewa. Selain pemuzik okestra, kelainan yang dibawa adalah konsep yang bercorakkan songket suntikan idea Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM", jelasnya lagi.

Kata Ab. Rauf,dengan konsep tersebut secara tidak langsung ia sekaligus terus mengangkat seni songket negara di mata dunia.- ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts