92 KETUA UMNO BAHAGIAN SOKONG ISMAIL SABRU GESA KETUA PEMUDA MCA DIPECAT


PUTRAJAYA:  Seramai 92 Ketua Umno Bahagian dari seluruh negara hari ini mendesak tindakan tegas diambil ke atas Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon kerana menggesa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digugurkan dari kabinet berikutan kenyataannya mengenai peniaga Cina.

Mereka juga mengecam tindakan Sin Woon yang bukan sahaja mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggugurkan Ismail, malah dikatakan secara terang telah menyatakan mahu berganding dengan DAP menyerang Ismail.

"Berkaitan isu dan tindakan Ketua Pemuda MCA yang bersekongkol dengan parti DAP yang bekerjasama untuk menyelar kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pihak kami mengutuk sekeras-kerasnya bentuk kerjasama oleh mereka dan menuntut presiden dan kepimpinan tertinggi MCA selaku rakan komponen Barisan Nasional (BN) mengambil tindakan tegas ke atas ketua pemuda MCA yang secara terang-terangan bekerjasama dengan parti DAP ini," kata kenyataan yang dibacakan wakil mereka, iaitu Ketua Umno Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir pada sidang media hari ini.

Katanya, kerjasama sedemikian tidak dapat diterima kerana DAP sememangnya telah terbukti sebuah parti cauvinis yang sering menimbulkan isu-isu perkauman.

"Ketua pemuda MCA kena jawab kenapa beliau sanggup meminta Perdana Menteri menggugurkan Ismail Sabri dari jawatan menteri.

"Beliau tidak mempunyai hak mengarahkan Perdana Menteri kerana itu adalah hak mutlak Perdana Menteri yang melantik kabinet," tegasnya.

Menurut Musa lagi, kenyataan Ismail harus dilihat dari sudut faedah pada seluruh rakyat tanpa mengira kaum yang mana kenyataan tersebut juga telah membangkitkan kesedaran dan kuasa pengguna yang tinggi.

Dalam pada itu, kesemua wakil-wakil Umno itu juga menyokong penuh kenyataan Ismail itu kerana menurutnya dari segi konteks, golongan majoriti sememangnya mempunyai kuasa mengubah serta mempengaruhi peniaga.

Dalam satu kenyataan di Facebook, Ismail Sabri pada Isnin berkata pengguna harus bersatu untuk memberi tekanan kepada peniaga dalam memastikan harga barangan diturunkan ekoran penurunan harga minyak.

Kenyataannya semalam itu meminta rakyat memboikot pemborong dan peniaga yang masih enggan menurunkan harga barang yang dilihat bukan sahaja memberi faedah kepada kaum Melayu tetapi juga pengguna berbangsa Cina.

Kenyataan itu telah mengundang pelbagai reaksi bukan sahaja dari pihak pembangkang malah dari kepimpinan parti komponen Barisan Nasional (BN) sendiri iaitu MCA.

Sementara itu, semalam kira-kira 200 himpunan bekas Pemuda Umno menyatakan kecaman terhadap kenyataan mendesak agar Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani‎, Datuk Seri Ismail Sabri  meletakkan jawatan ekoran kenyataannya mengenai isu peniaga Cina, yang dianggap sebagai 'bodoh, biadap dan tersasar'.

Jurucakap mereka, Datuk Zulkifli Alwi berkata, MCA juga sengaja menimbulkan kenyataan berbaur kecaman sekali gus tanda jasa UMNO kepada parti orang Cina itu dilupakan sama sekali.

Pada Selasa, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar juga telah mengeluarkan kenyataan dalam akaun twitternya bahawa polis akan memanggil Ismail untuk mengambil keterangan berhubung isu tersebut.

Ismail bagaimanapun berkata, beliau akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis tentang isu berkenaan.-ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts