TAIB DAN PBB BANYAK BERJASA LEPADA SARAWAK : TUN DR MAHATHIR


PUTRAJAYA:  Khidmat Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud amat baik sehingga membolehkan negeri itu kekal memiliki pemerintah yang disokong kuat oleh rakyat apabila parti pimpinannya berjaya memenangi banyak pilihan raya sebelum ini, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata, apabila usia semakin lanjut, seseorang pemimpin itu juga perlu sanggup berundur untuk memberi peluang kepada orang lain.

Beliau berkata, di bawah teraju Taib, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang menjadi tunjang Barisan Nasional (BN) Sarawak dilihat memiliki perpaduan yang cukup mantap, kemas, kuat dan banyak menyumbang jasa kepada Sarawak menerusi projek pembangunan yang dibawanya.

"Saya harap siapa jua yang ganti (Taib) nanti akan dapat sokongan yang sama dan tidak ada permusuhan antara bakal pengganti," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan pengayuh basikal solo, Wan Hashim Wan Mahmood, 68, di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, hari ini.

Taib, 78, yang merupakan presiden PBB dan pengerusi BN Sarawak, mengumumkan hasrat untuk berundur sebagai ketua menteri ketika mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PBB dua hari lalu, namun semasa mesyuarat parti komponen BN negeri semalam, beliau tidak menyatakan tarikh untuk berbuat demikian.

Ditanya pandangannya jika pengunduran Taib akan memberi kesan kepada PBB, Dr Mahathir berkata, sedikit sebanyak ia akan memberi kesan, namun beliau yakin dengan perpaduan mantap yang dimiliki, parti itu akan terus cemerlang.

"Saya fikir PBB masih kuat. Kita seharusnya ambil kira soal parti juga, tidak kira siapa pemimpinnya. Parti ini (PBB) banyak berjasa kepada Sarawak, banyak pembangunan yang dilakukan oleh pemerintahan parti ini di bawah Taib, saya yakin penggantinya juga akan dapat berbuat demikian nanti," katanya. - BERNAMA

Comments

Popular Posts