INFO: MUSA LAWAT KAWASAN BANJIR DI SABAH


KENINGAU:  Kerajaan negeri Sabah akan melakukan yang terbaik dalam memberikan bantuan kepada mangsa banjir di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata Jawatankuasa Bencana Negeri akan menyampaikan bantuan termasuk bekalan makanan dan barangan keperluan asas kepada mangsa banjir di sini, Beaufort dan Tenom.

Musa berkata demikian kepada pemberita selepas melawat ketiga-tiga kawasan itu yang teruk dilanda banjir. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri  Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman.

Lebih 3,000 mangsa banjir ditempatkan di 25 pusat pemindahan banjir di Tenom, Beaufort dan Keningau selepas perkampungan mereka dilanda dinaiki air berikutan hujan berterusan sejak Khamis.

"Kerajaan prihatin dengan nasib semua mangsa. Menteri Persekutuan (Shahidan) yang bertanggungjawab dengan hal ehwal bencana juga berada di sini untuk meninjau keadaan banjir serta membantu mangsa," katanya.

Menurutnya Jawatankuasa Bencana Negeri yang dipengerusikan Sukarti juga memantau keadaan itu dan akan memaklumkan keadaan semasa kepada umum menerusi saluran sedia ada termasuk media sosial.

"Saya juga meminta mangsa banjir supaya tenang dan tidak panik...tolonglah patuh arahan pihak berkuasa demi keselamatan mereka. Ini memudahkan proses pemindahan dan penyaluran bantuan," katanya.

Musa berkata beliau juga telah mengarahkan pihak berkuasa berkenaan seperti polis, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Sabah Air untuk membantu menghantar bekalan makanan dan barangan keperluan kepada mangsa banjir.

"Selain jabatan dan agensi negeri, kami juga mengalu-alukan bantuan daripada badan bukan kerajaan dan individu. Ketika krisislah, kita boleh membantu dalam  apa jua cara," kata beliau.

Musa juga mengingatkan ibu bapa supaya mengawasi anak-anak dan tidak membiarkan mereka bermain air banjir.

Di BEAUFORT, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun menyifatkan banjir yang melanda daerah ini sebagai antara yang terburuk sejak tahun 1981.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Beaufort berkata banjir kali ini menjejaskan hampir keseluruhan daerah ini dan menyebabkan kerosakan harta benda serta kawasan pertanian.

Tinjauan Bernama di dearah ini mendapati hampir keseluruhan pekan lama Beaufort  ditenggelami air termasuk jambatan lama yang menjadi laluan utama ke daerah  lain seperti Sipitang.

Ada sesetengah kawasan juga ditenggelami air sehingga hampir tiga meter terutama di kawasan  blok kedai yang berhampiran dengan tebing Sungai Padas.

Ini menyebabkan aktiviti perniagaan di pekan lama Beaufort hampir lumpuh manakala sistem  pengangkutan awam seperti bas, teksi dan kereta api ke daerah berkenaan juga terjejas kerana dinaiki air.

Sehingga 5.30 petang  tadi, paras air Sungai Padas melepasi 10 meter, yang melebihi paras bahaya iaitu  8.70 meter. -BERNAMA

Comments

Popular Posts