INFO: SISTEM PENJAGAAN KESIHATAN MALAYSIA KETIGA TERBAIK DI DUNIA


KUALA LUMPUR:  Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia patut berbangga kerana sistem penjagaan kesihatannya tersenarai sebagai ketiga terbaik di dunia.

Perdana Menteri dalam Tweetnya malam Isnin berkata:"Malaysia mendapat tempat ketiga terbaik daripada 24 negara dalam Indeks Persaraan Global 2014 International Living. Kita sepatutnya berbangga!"

Satu kajian oleh penerbitan Amerika itu, International Living menilai sistem penjagaan kesihatan Malaysia sebagai ketiga terbaik daripada 24 negara dalam Indeks Persaraan Globalnya mengalahkan Sepanyol, Itali, Ireland , New Zealand dan negara-negara lain.

Malaysia mendapat tempat ketiga setelah mendapat markah 95 daripada 100 mata, sementara negara-negara di tempat dua teratas, iaitu Perancis dan Uruguay masing-masing memperolehi 97 dan 96 mata.

Indeks itu yang dikeluarkan baru-baru ini oleh majalah yang berpangkalan di Baltimore, memuji sistem penjagaan kesihatan di Malaysia memandangkan kepakaran perubatan pengamal-pengamal perubatan Malaysia adalah setaraf atau lebih baik daripada kebanyakan negara-negara Barat.

Sementara itu, Najib dalam satu lagi Tweet terbaharu beliau malam ini meminta para ibu bapa supaya meluangkan masa bersama anak-anak mereka melayari laman web 1BestariNet.

Beliau berkata menerusi laman web itu ibu bapa dapat memanfaatkan sistem pembelajaran secara dalam talian walau di mana sahaja mereka berada.

1BestariNet merupakan projek inisiatif Kementerian Pendidikan yang dilaksanakan dengan kerjasama YTL Communications bagi melengkapkan 10,000 sekolah di seluruh negara dengan akses internet berkelajuan tinggi.

Ia juga merupakan platform pembelajaran maya yang mengaplikasikan jaringan Internet berkelajuan tinggi selain bertujuan merapatkan jurang digital antara murid di kawasan bandar dan luar bandar.

Inisiatif kerajaan itu juga bakal menjadikan Malaysia negara pertama di dunia yang dilengkapi akses Internet mudah alih 4G dan Virtual Learning Environment (VLE) di semua sekolah di seluruh negara. - BERNAMA

Comments

Popular Posts