INFO: SAYA UTAMAKAN KEPENTINGAN NEGARA MENGATASI POPULARITI SENDIRI : NAJIB

KUALA LUMPUR, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggariskan perancangan kerajaan dalam usaha menjadikan Malaysia lebih kukuh dan makmur, dengan berkata pengukuhan ekonomi akan memastikan negara kekal pada kedudukan untuk merealisasikan status negara pendapatan tinggi.

Berucap pada Sidang Kemuncak Dialog Ekonomi Kebangsaan di sini, Najib menegaskan bahawa sebagai Perdana Menteri, tanggungjawab utama beliau ialah melindungi rakyat Malaysia.

Najib berkata kepimpinan adalah membuat apa yang betul, bukan apa yang mudah, dan keputusan salah akan merencatkan pembangunan  Malaysia.

"Saya memilih untuk menjaga kepentingan jangka penting negara, mengatasi populariti jangka pendek saya. Dan saya yakin perubahan ini akan berjaya. Rekod ekonomi kita membuktikannya," katanya pada sidang kemuncak anjuran bersama
Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia) dan Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli).

Pengukuhan ekonomi akan memastikan negara kekal pada kedudukan yang baik untuk
merealisasikan status negara berpendapatan tinggi dan negara maju, kata Najib yang juga Menteri Kewangan. Ini termasuk pelaksanaan pembaharuan subsidi yang menyaksikan pengurangan
pembayaran untuk gula dan bahan api, selain peralihan daripada subsidi
menyeluruh kepada sokongan bersasar bagi membantu mereka yang sangat memerlukannya.
       
Najib yang mengambil peluang ini untuk bercakap terus kepada rakyat, Perdana Menteri menjelaskan secara terperinci beberapa isu utama, termasuk pentingnya untuk melaksanakan subsidi bersasar, usaha untuk memerangi rasuah, pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan menarik pelaburan asing.

"Jika ekonomi mahu terus berkembang kukuh, kita bukan sahaja perlu mengurangkan perbelanjaan tidak produktif, malah meluaskan aliran pendapatan,
yang membolehkan kita melabur pada masa depan.

"GST (yang akan diperkenal pada April 2015) akan membolehkan kita untuk meningkatkan perbelanjaan pembangunan. Daripada memberi subsidi, kita boleh membelanjakan lebih banyak wang untuk pelaburan produktif - ke atas infrastruktur, sekolah dan penjagaan kesihatan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata semasa kabinet meluluskan reformasi subsidi, ia dilakukan hasil sokongan padu Perbendaharaan, Bank Negara, dan Unit Perancang
Ekonomi. Najib berkata beliau tidak memandang ringan terhadap keputusan untuk mengurangkan subsidi atau memperkenal GST.

"Saya memikirkan secara mendalam mengenai risiko, kemungkinan kesannya ke atas rakyat. Namun saya memutuskan kita perlu bertindak - untuk menjamin
keselamatan, kemerdekaan dan pertumbuhan masa depan," kata Perdana Menteri.

Beliau berkata ini dilakukan berikutan Malaysia, yang sedang melakukan
perjalanan, sudah pun menetapkan destinasinya - sasaran merealisasikan negara berpendapatan tinggi.

Najib bagaimanapun berkata kerajaan mendengar kebimbangan yang dihadapi rakyat, dan akan membuat penyesuaian dasar apabila diperlukan.

"Mentadbir adalah untuk membuat keputusan yang betul untuk esok, dan bukan hanya untuk hari ini. Kegagalan bertindak sekarang adalah sesuatu yang tidak
bertanggungjawab," katanya.

Sambil menyatakan bahawa memang mudah untuk ahli politik membuat janji manis, menawarkan apa yang dikehendaki rakyat dan menangani akibatnya kemudian, Najib menegaskan bahawa 'kepimpinan adalah melakukan apa yang betul, bukan apa yang mudah." Najib berkata tindakan terbaharu oleh kerajaan itu disambut baik oleh
pelabur dan agensi penarafan berikutan defisit bajet semakin menurun, kini pada 3.9 peratus, rendah daripada sasaran.

"Kita sedang menuju kepada bajet seimbang menjelang 2020 walaupun ada golongan cerdik pandai berkata ekonomi Malaysia akan berkembang," katanya sambil menegaskan KDNK (keluaran dalam negara kasar) meningkat 5.1 peratus pada suku
lepas, selain rekod tinggi dalam perdagangan dan pelaburan asing.

Menerusi pelan strategik untuk memastikan kedudukan ekonomi yang baik, beliau berkata kemiskinan secara menyeluruhnya susut 97 peratus sejak 30 tahun lepas, dan tiada lagi golongan miskin tegar.

Sejak 1992, pendapatan isi rumah sudah meningkat tiga kali ganda, katanya mengenai perbezaan sebenar prospek rakyat biasa dan kehidupan golongan paling miskin dalam masyarakat.

Najib bagaimanapun berkata kemajuan perlu dibayar pada harga yang tinggi iaitu dalam bentuk perbelanjaan subsidi kerajaan yang meningkat, dengan kerajaan
membelanjakan kira-kira 15 peratus bajet 2010 ke atas subsidi dan insentif, meningkat kepada 21.4 peratus atau RM44 bilion pada 2012.
Najib bagaimanapun berkata kemajuan ada kosnya, dalam bentuk bayaran subsidi yang semakin meningkat dengan kerajaan membelanjakan 15 peratus bajet  2010 ke atas subsidi dan insentif, melambung kepada 21.4 peratus atau RM44 bilion pada
2012.
   
Pada 2009, defisit bajet negara - jurang antara jumlah yang diperoleh dan jumlah yang dibelanjakan -- sebanyak enam peratus, dengan kos subsidi antara faktor yang meningkatkan defisit, kata Najib.

Namun, defisit bajet tidak semestinya negatif, katanya sambil menegaskan
walaupun sudah berada dalam defisit sejak lewat tahun 1990-an, ia tidak
menghalang Malaysia daripada membangun.

"Dan banyak negara yang berjaya, seperti Jepun, mempunyai paras hutang yang tinggi," katanya.

Najib berkata di sebalik angka, hakikatnya ia memberi manfaat kepada isi rumah Malaysia, termasuk dari segi upah, yang terus meningkat.
"Gaji tahun lepas secara puratanya meningkat enam peratus, lebih tinggi
berbanding inflasi pada 2.1 peratus," katanya dan menambah, sejak 2009,
KDNK Malaysia telah berkembang pada purata 5.7 peratus setahun, dan pendapatan isi rumah meningkat 24 peratus.

Untuk terus membantu rakyat Malaysia menangani kos sara hidup, Najib berkata RM40 bilion akan dibelanjakan tahun ini untuk subsidi makanan, bahan api dan pendidikan, untuk membantu isi rumah berpendapatan rendah.

Beliau juga berkata dalam tempoh lima tahun akan datang, jumlah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan dinaikkan kepada RM1,200 bagi membantu menampung kos hidup yang semakin meningkat.

Kerajaan pula mengurangkan penggunaan elektrik sebanyak lima peratus, menurunkan kos pengangkutan, selain mengurangkan bajet keraian untuk menteri.

Najib juga berkata kerajaan juga mempergiat usaha memerangi rasuah dengan berkata memerangi punca merupakan antara keutamaannya.

"Namun kita mesti jujur. Kita tidak boleh petik jari dan rasuah akan
terhapus dalam masa sehari. Dan oleh itu kita mesti tangani rasuah, menyusun semula subsidi dan memperkenal GST untuk menjadikan bajet seimbang," katanya.

GST ialah cukai enam peratus ke atas barang dan perkhidmatan bagi
menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan sedia ada sebanyak 16 peratus.- BERNAMA

Comments

Popular Posts