KAMI 'SOLID' DI SABAH, TIDAK BEREBUT KUASA: SALLEH
Ashwad Ismail, Astro Awani |
Salleh yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sabah menyifatkan parti itu tidak goyah dengan khabar angin yang mengatakan sudah wujud bibit-bibit perebutan kuasa dalam UMNO negeri itu.
"Kita berpuas hati dengan kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, tidak ada masalah sama sekali dan kita sangat 'solid' di peringkat UMNO dan Barisan Nasional di Sabah," kata Salleh semasa temubual ekslusif bersama Astro AWANI di sini, siang tadi.
Beliau ditanya mengenai situasi politik Sabah ketika lanskap politik negara sarat dengan ramalan dan cakap-cakap politik menuju Pilihan Raya Umum ke-14.
Iklim politik negeri di bawah bayu itu juga tidak terlepas daripada dilanda khabar angin sehingga mencetuskan persepsi bahawa UMNO Sabah berdepan situasi ibarat 'ribut dalam secawan kopi'.
Terbaharu, cakap-cakap politik mengatakan, ada beberapa tokoh sudah mula mencatur gerakan yang tertumpu kepada jawatan tertinggi dalam parti di negeri itu.
Namun, Salleh yang juga Bendahari UMNO menegaskan ahli serta pemimpin akar umbi terus teguh di belakang Ketua Menteri.
"Sejarah kita di Sabah sudah terbukti, sejak dahulu lagi kita mengamalkan konsep kesetiaan kepada parti dan kita menyokong sesiapa sahaja yang menjadi pemimpin.
"Saya selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, adalah tanggungjawab saya untuk menyokong padu Pengerusi yang juga Ketua Menteri," ujar Salleh.
Tambahnya, Barisan Nasional Sabah tidak terjejas dengan serangan musuh politik yang sentiasa mahu memecah-belahkan blok pemerintah serta barisan kepimpinannya.
"Dalam politik, 'in the world of the blind, the one-eyed man is king' dan mereka sentiasa mahu memecah-belahkan kita.
"Tapi saya yakin rakyat Sabah sentiasa mengetahui 'track record' kita dan bersama dengan BN," katanya
Comments
Post a Comment