MALAYSIA KONGSI PENGETAHUAN ISU KEGANASAN DI SWITZERLAND: ANIFAH

KUALA LUMPUR:  Kehadiran delegasi negara ke Persidangan Mencegah Keganasan Ekstrimisme (PVE) di Geneva akan membuka ruang perkongsian pengetahuan dalam isu keganasan bersama pemimpin dunia yang lain.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, pihaknya akan mencari beberapa penyelesaian dalam isu pengganas semasa persidangan itu yang dianjurkan Menteri Luar Switzerland, Didier Burkhalter dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon.

"Saya akan mengetuai delegasi negara ke persidangan di Geneva itu pada 7 sehingga 8 April. Saya juga akan diiringi pegawai-pegawai dari kementerian.

"Persidangan ini akan memberi peluang kepada masyarakat antarabangsa untuk berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam menangani isu keganasan di samping memberi pertimbangan selanjutnya kepada Pelan Tindakan Setiausaha Agung PBB bagi Mencegah Keganasan.

"Pelan Tindakan tersebut telah dibentangkan kepada Negara-Negara Anggota PBB di New York pada 17 Februari lepas," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Dalam pada itu jelasnya, satu Segmen Peringkat Tinggi yang diadakan akan menjadi medan negara berkongsi perspektif dan pengalaman dalam mencegah keganasan di peringkat kebangsaan.

"Penyertaan negara di Persidangan tersebut mencerminkan sokongan yang tidak berbelah bagi dan komitmen ke arah menangani ancaman keganasan," jelasnya.- ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts