SERAGAMKAN UNDANG-UNDANG SYARIAH ANTARA NEGERI : AZIZAH MOHD DUN

Raja Hisyam Raja Zaid, Astro Awani | Published 


KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Undang-Undang Syariah Tahun 2017 hari ini mencadangkan agar undang-undang syariah di negara ini diseragamkan antara semua negeri serta diperkasakan.

Penyeragaman yang dicadangkan itu meliputi semua bidang undang-undang Mahkamah Syariah, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun.

"Oleh kerana ia di bawah kuasa negeri-negeri, kami akan membawa cadangan ini sebaik diperkemaskan, kepada Sultan-sultan di negeri-negeri secepat mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Turut hadir, hampir kesemua Ketua Mahkamah Syarie negeri-negeri dan wakil Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta para pengamal undang-undang.

Mesyuarat tersebut secara dasarnya membincangkan tiga perkara, iaitu penyeragaman undang-undang Syariah, sistem pewarisan harta dan pemerkasaan Mahkamah Syariah.

Ia turut mencadangkan agar hirarki Mahkamah Syariah sedia ada dinaikkan dan supaya mahkamah tersebut melantik peguam bagi kanak-kanak yang ibu bapa mereka mempunyai kes di Mahkamah Syariah.

Azizah berkata, ia antara beberapa elemen yang perlu dilihat pihak berkaitan membabitkan bidang kuasa Mahkamah Syariah di negara ini.

"Perkara ini bagi memastikan anak-anak tersebut mendapat hak penjagaan yang sempurna sepanjang kes melibatkan ibu bapa mereka," tambahnya.

Comments

Popular Posts