KEMENTERIAN PENDIDIKAN KAJI POLISI BAWA GAJET, PERANTI ELEKTRONIK KE SEKOLAH

Harits Asyraf Hasnan, Astro Awani | Published 


KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan bercadang mewujudkan polisi bagi membenarkan pelajar membawa gajet dan peranti elektronik ke sekolah bagi membantu proses pengajaran dan pembelajaran (PDP).

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata cadangan itu dikemukakan seiring pembangunan teknologi semasa.

Namun, katanya, kajian cadangan itu akan siap dalam tempoh dua bulan sebelum kementeriannya membuat sebarang keputusan.

"Pada masa kini, polisi peranti elektronik masih melarang pelajar membawanya ke sekolah. Kita boleh buat kajian terperinci, tapi belum dibuat kajian lagi.

"Saya fikir elok sekiranya kita benarkan ia dibawa ke sekolah. Ia meliputi semua sekolah rendah dan menengah.

"Kita belum buat keputusan apakah jenis gajet dan peranti elektronik yang dibenarkan," katanya yang mengambil contoh polisi di beberapa negara seperti Korea Selatan, Jepun dan Singapura.

Beliau sebelum itu hadir pada Majlis Pelancaran Buku Siri Sukan terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Penandatanganan Perjanjian Kerjasama Perbitan Antara ITBM dan Pusat Kebudayaan Han Malaysia (HCCM) di ITBM di sini hari ini.

Malah, beliau mengakui berkemunkinan pada suatu masa nanti buku teks mungkin tidak diperlukan lagi di sekolah.

Jelasnya, pihak kementerian akan menentukan peruntukan masa untuk membenarkan pelajar menggunakan gajet tersebut.

"Sebagai contoh waktu PDP Sains antara pukul 9.30 hingga 10.30, jadi pelajar dibenarkan menggunakan peranti elektronik tersebut pada waktu itu sahaja.

"Selepas itu mereka perlu tutup. Kemudian ada subjek lain lagi antara 12.20 hingga 1 petang. Itu sahaja yang dibenarkan," jelasnya.

Justeru, pihaknya juga akan mengkaji kelajuan jalur lebar yang digunapakai di sekolah termasuk sekolah luar bandar dan pedalaman.

Comments

Popular Posts