KEMENTERIAN PENDIDIKAN SEDIA JALIN KERJASAMA DENGAN PIHAK BERKUASA ISU GENGSTERISME

PADANG TERAP: Kementerian Pendidikan sedia menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa dalam mengambil tindakan terhadap pelajar sekolah yang terlibat dengan kegiatan gengsterisme, kata Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid.


Beliau berkata ini termasuk memberi kelonggaran sepenuhnya kepada polis untuk masuk ke kawasan sekolah sama ada bagi menjalankan siasatan atau tangkapan, bagaimanapun polis perlu memaklumkan terlebih dahulu kepada Pejabat Pelajaran Daerah dan sekolah sebelum mengambil apa-apa tindakan.

"Saya yakin pengetua atau guru besar akan memberikan kerjasama baik dalam hal ini...kalau di bawah risikan polis dah tahu anak-anak ini terlibat dengan kes jenayah, kita serahkan sahaja kepada polis," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program jelajah Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf) di Felda Lubuk Merbau di sini hari ini.

Awal hari ini, Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) berjaya menahan 18 orang termasuk 13 pelajar kerana dipercayai menyertai kumpulan kongsi gelap Geng 24 di Klang, Selangor.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui akaun Twitternya yang memberi amaran bahawa ramai lagi akan ditangkap kerana terlibat dalam aktiviti kumpulan itu.

-- BERNAMA

Comments

Popular Posts