BATALKAN PERHIMPUNAN BERSIH, BAJU MERAH : TPM ZAHID

.
KUALA LUMPUR:  Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan Gerakan Baju Merah dan Bersih mengikut arahan Ketua Polis Negara bagi membatalkan perhimpunan kedua-dua kumpulan itu Sabtu ini.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan tindakan akan tetap diambil ke atas mereka yang melanggar undang-undang.

"Sewaktu menggulung ucapan Belanjawan bagi Kementerian Dalam Negeri, saya katakan tindakan akan diambil ke atas kedua-dua pihak sama ada baju merah atau kuning. Jadi, untuk mengelakkan supaya perkara ini tidak berlaku, maka kedua-dua pihak hendaklah stand down, ertinya mereka hendaklah menghentikan perarakan atau perhimpunan itu," katanya semasa ditemui media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata polis tidak akan berat sebelah dalam mengambil tindakan, baik baju kuning mahupun baju merah.

"Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dari segi tindakan yang akan diambil ke atas dua-dua pihak," tambahnya.

BACA: PM Najib bimbang berlaku pertembungan antara penyokong Bersih 5, Baju Merah

Tegas beliau, mana-mana kumpulan tidak sepatutnya menentang tindakan polis kerana arahan menghentikan perhimpunan telah dikeluarkan pihak berkuasa.

"Ya, jadi (jangan marah polis) kena ikut undang-undanq. Apa yang dinyatakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar adalah berdasarkan peruntukan yang ada sama ada dalam Akta Perhimpunan Aman atau undang-undang berkaitan. Saya minta kedua-dua pihak mematuhi Ketua Polis Negara," ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid bertegas untuk tidak memberi respon apabila ditanya mengenai tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang memakai baju Bersih 5 dan muncul dalam satu video menggesa rakyat menyertai perhimpunan tersebut.

Bersih 5 dijangka tetap diadakan pada Sabtu ini dan pada masa sama dibimbangi akan turut menyaksikan pertembungan dengan Gerakan Baju Merah yang dianjurkan ketuanya Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Khalid pada masa sama mahu kedua-dua kumpulan agar tidak menentang atau marah dengan pihak polis apabila mereka mengambil tindakan terhadap sesiapa yang melanggar undang-undang semasa perhimpunan berkenaan.- ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts