'MEREKA TIDAK ADA HAK SURUH NAJIB LEPASKAN JAWATAN' : RAIS YATIM

GOMBAK:  Penasihat kerajaan dalam hal ehwal sosio-budaya, Tan Sri Dr Rais Yatim kecewa dengan tindakan Tun Dr Mahathir bersekongkol dengan pembangkang untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

Dr Rais menjelaskan, beliau terkejut dengan tindakan bekas Perdana Menteri itu kerana ia merupakan satu tindakan luar biasa Dr Mahathir.

"Saya tak menduga Tun Mahathir akan melaksanakan taktik seperti itu kerana selama ini beliau tidak kelihatan mesra dengan Lim Kit Siang, PKR mahupun pihak yang terbabit (pada Jumaat) malah, beliau sangat kritis terhadap mereka.

"Bagi saya, hanya satu mekanisme yang boleh dipakai (untuk Najib lepaskan jawatan), iaitu menerusi undang-undang. Masa  pilihanraya umum nanti tentukan lah," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan majlis pra pelancaran 'Universiti Islam  Antarabangsa Malaysia (IIUM) Alumni Global Home Coming 2016', di sini petang tadi.

Tambahnya, apa-apa kritikan terhadap kerajaan perlu dibuat secara profesional bagi mengelak terjerumus kepada dakwaan liar.

"Ada hal-hal berkaitan yang belum selesai. Ada dua tahun lagi untuk buat 'kerja rumah', jadi, dia tidak boleh disuruh turun," tambahnya.

Rais turut menyifatkan deklarasi tersebut sebagai 'perhimpunan politik terdesak dalam keadaan yang tidak menentu.'

Terdahulu Rais yang juga Presiden UIAM turut melancarkan Portal Alumni, Majalah REACH, Tabung Biasiswa Alumni dan Alumni Book Cafe.

Sebanyak RM600,000 sumbangan berjaya dikumpul pada majlis berkenaan sebagai membiayai aktiviti serta tabung alumni tersebut. - ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts