RCI MEMALI: MUSA HITAM CADANG SELEPAS PRU14, ELAK POLITIK PANCING UNDI

Harits Asyraf Hasnan, Astro Awani | Published 

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat tragedi berdarah Memali yang berlaku pada 1985 seharusnya dibuat selepas pilihan raya umum akan datang (PRU14), gesa bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri pada waktu itu menegaskan, cadangan itu bagi memastikan ia tidak disalah guna untuk kepentingan politik dan memancing undi.

"Perkara yang perlu diteliti ialah mengenai kesesuaian masa penubuhan dan prosiding yang dijalankan supaya objektif penubuhannya bukan untuk memenuhi agenda politik sempit jangka pendek hingga mengorbankan kebenaran dan tergelincir daripada matlamat mahu mencari kebenaran secara hakiki.

"Demi mengelak peristiwa Memali disalahgunakan untuk kepentingan politik dan memancing undi, adalah lebih bijak dan lebih menepati tujuan, penubuhan prosiding Suruhanjaya ini ditangguhkan sehingga selesai PRU ke-14," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau yakin, mana-mana pihak yang serius dan jujur serta mahu mengetahui latar belakang dan kejadian sebenar Peristiwa Memali, akan bersetuju supaya penubuhan dan prosiding RCI ditangguhkan sehingga selesai PRU14.

Mengulas lanjut, Musa berkata, suasana politik negara yang tenang dan tenteram akan dapat menghindarkan serta mengelakkan daripada berlaku apa juga niat serong mana-mana pihak untuk memperalatkan dan melakukan eksploitasi politik terhadap tragedi berkenaan.

Katanya, beliau tidak nampak rasional dan kebijaksanaan untuk menubuhkan RCI itu secara terburu-buru pada masa ini memandangkan isu itu telah berlaku hampir 32 tahun lalu.

Tambahan pula, katanya, Kertas Putih mengenai peristiwa Memali pernah diedarkan di Parlimen tetapi tidak ada sebarang tindakan diambil untuk mencari kebenaran.

Beliau pada masa sama menginsafi peristiwa Memali sebagai satu titik hitam negara sekaligus mahu siasatan itu dilaksanakan dalam keadaan tenang, berfokus, selain tanpa prejudis dan pilih kasih.

Musa yang memegang portfolio sebagai Menteri Dalam Negeri pada masa itu menandatangani kertas putih Peristiwa Memali yang dikemukakan ke Parlimen bertarikh 25 Februari, 1986.

Tiga tahun lalu beliau mendedahkan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ada di dalam negara semasa kejadian tersebut dan memohon bekas perdana menteri itu menangguhkan lawatannya ke China, tetapi Dr Mahathir enggan dan meminta beliau menguruskan isu Memali.

Dr Mahathir dalam reaksinya sebelum ini berkata, beliau tidak ingat apakah bekas timbalannya itu ada menasihatinya supaya menangguhkan lawatan kerja ke China susulan insiden Memali.

Sejarah Memali lebih tiga dekad itu muncul semula selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa kekecohan semasa forum "Nothing to Hide 2.0" baru-baru ini tercetus kerana jawapan Dr Mahathir berkenaan peristiwa Memali tidak memuaskan hati hadirin.

Susulan itu, pemimpin kanan PAS itu mengulangi desakan supaya kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi menyemak semula peristiwa 32 tahun lalu itu dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kesediaan kerajaan untuk berbuat demikian sekiranya ada permintaan.

Dua bekas ketua polis negara, Tun Mohammed Hanif Omar dan Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor bagaimanapun mempersoalkan kewajaran membuka semula siasatan yang sudah selesai.

Comments

Popular Posts