RENUNGAN BERSAMA
Malam ini , saya hendak berkongsi sesuatu yang ingin saya jadikan renungan untuk diri saya sendiri dan berharap ia juga jadi renungan sesiapa yang membaca dalam ruangan ini .
Pernahkah anda merasa terlalu kecewa dengan apa yang sedang anda alami ? Ada masanya kita merasa kesal , mengapa keadaan ini berlaku pada diri .Perasaan itu semakin menghimpit dalam fikiran apabila melihat keceriaan serta kelihatan keselesaan pada orang lain . Benarkah hanya kita sahaja menghadapi keadaan ini ? Betulkah keceriaan yang terpancar pada wajah yang sedang anda renung itu benar-benar keceriaan yang ikhlas ataupun hanya topengan luaran belaka ?!
Jika kita melihat ada individu yang hidup dalam kemewahan, serba-serbi lengkap , memiliki rumah yang besar dan indah , memiliki kenderaan yang mewah dan sebagainya . Sudah pasti kita mengandaikan betapa selesanya kehidupan mereka . Tetapi benarkah mereka hidup selesa ? benarkah kehidupan mereka tenang dan gembira ?
Suatu ketika , kita melihat dua sahabat yang berjalan bersama , ketawa bersama , makan bersama , melakukan pekerjaan serta aktiviti selalu bersama . Sudah pasti dalam fikiran kita , betapa ikhlasnya persahabatan mereka . Tetapi suatu hari kita telah mendengar mereka saling mencemuh antara satu sama lain dari belakang . Menceritakan perkara yang buruk tentang sahabat masing-masing kepada orang lain . Ada kalanya berbentuk umpatan dan kadang kala terselit fitnah . Ikhlaskah persahabatan mereka itu ?
Inilah antara corak perjalanan kehidupan kita . Tidak semuanya manis tetapi jangan nafikan bahawa tidak segalanya pahit . Segalanya terserah kepada penerimaan kita . Sebenarnya kita masih boleh membuat pilihan , sama ada terus menelan yang manis atau membuang yang pahit . Ataupun kita menelan kedua-dua rasa itu untuk kita ulamkan menjadi bekalan ketahanan kita meneruskan kehidupan ini.
Andaikanlah kita merasa orang membenci diri kita , ingatkanlah juga diri kita bahawa masih ada yang sayang pada diri kita . Sekurang-kurangnya diri kita . Biarkanlah orang yang memandang betapa teruknya kita sebagai manusia , asalkan kita masih berpijak sebagai manusia hamba Allah . Jangan kita membalas tohmahan mereka kerana jika kita melakukan perkara yang sama, bererti kita juga sama seperti mereka . Elakkanlah diri kita menjadi sebahagian manusia yang sentiasa merasakan diri adalah yang baik dan orang tidak baik, rasa diri sahaj yang elok orang lain buruk , diri sahaja molek orang lain tergolek sehingga merasakan diri kita layak melihat orang lain jauh rendah martabatnya dari kita . Siapa kita ? Bukankah kita dan orang lain itu manusia juga ? Sama tarafnya . Benarkah kita tidak pernah melakukan kesalahan atau kesilapan ? Seandainya benar , adakah itu sudah cukup melayakkan kita meletakkan gelaran kepada orang lain ? Jika kita merasa sedemikian, cepat-cepatlah sedar kerana kita telah melakukan kesalahan paling besar. Bukan sahaja pada diri kita, malahan pada orang lain dan kepada Pencipta kita !
Renungkanlah .
Comments
Post a Comment