PM ZAHIR RASA SEDIH TERIMA BERITA KEMATIAN DUTA BESAR MALAYSIA KE SWITZERLAND

KUALA LUMPUR:  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menzahirkan rasa sedih di atas pemergian Duta Besar Malaysia ke Switzerland Datuk Mohd Zulkephli Mohd Noor, yang meninggal dunia di Berne, Switzerland pada Rabu.

"Terima berita sedih bahawa Duta Besar Malaysia ke Switzerland, Datuk Mohd Zulkephli Mohd Noor telah kembali ke rahmatullah tengah hari tadi. Al-Fatihah," katanya dalam catatan terkini di laman Facebook dan Twitter beliau.

Mohd Zulkephli, 57, meninggal dunia pada 6.38 pagi waktu tempatan.

Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Anna Amalina Imam Baweh dan lima orang anak.
   
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra, pihak Kedutaan Besar Malaysia di Berne dengan bantuan Perwakilan Tetap Malaysia di Geneva sedang dalam proses menguruskan jenazah Allahyarham untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Mohd Zulkephli mula berkhidmat dalam perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik sejak 1984.
   
Sebelum dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Switzerland, beliau pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Turkmenistan pada Julai 2012.
   
Mohd Zulkephli juga pernah memegang jawatan sebagai Duta Besar Malaysia ke Libya dari 2009 hingga 2011 dan terlibat secara langsung dalam operasi membawa keluar rakyat Malaysia dari Libya.
   
Selain itu, Allahyarham pernah bertugas di beberapa perwakilan Malaysia seperti Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles dan Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu di Geneva.- BERNAMA

Comments

Popular Posts