#BAJET 2014 : FAKTA YANG WAJIB DIKETAHUI


# Bonus Setengah Bulan gaji
Kira-kira 1.4 juta penjawat awam akanmenerima bonus setengah bulan gaji atau minimun RM500, demikian diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata bagi meringankan lagi bebangolongan pesara, kerajaan juga akan memberi Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM250.

"Bayaran bonus dan bantuan khas kewangan ini akan dibayar pada awal Januari2014," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2014 di Dewan Rakyat hari ini.

Pada Ogos lepas, sebagai persiapan Hari Raya, Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 dan RM250, masing-masing telah dibayar kepada penjawat awam dan pesara.

Bayaran bantuan khas kepada penjawat awam itu adalah untuk Gred 1 hingga Gred 54

#Kerajaan Peruntukkan RM264.2B
Kerajaan akan memperuntukkan RM264.2 bilion dalam Bajet 2014 bagi melaksanakan langkah-langkah, program dan projek untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Daripada jumlah itu, RM217.7 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan operasi, manakala RM46.5 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

"Di bawah perbelanjaan operasi, kerajaan akan memperuntukkan RM63.6 bilion untuk emolumen dan RM36.6 bilion untuk perkhidmatan dan bekalan.

"Sejumlah RM114.5 bilion diperuntukkan untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap, manakala RM1.4 bilion untuk pembelian aset. Baki RM1.5 bilion lagi diperuntukkan untuk perbelanjaan lain," katanya semasa membentangkan Bajet 2014 di Parlimen hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata daripada perbelanjaan pembangunan sebanyak RM46.5 bilion, sejumlah RM29 bilion akan disediakan untuk sektor ekonomi.

Kerajaan juga akan memperuntukkan RM10.5 bilion untuk sektor sosial bagi termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat.

Selain itu Najib berkata RM3.9 bilion diperuntukkan untuk sektor keselamatan manakala bakinya sebanyak RM1.1 bilion disediakan untuk pentadbiran awam dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

Mengenai kutipan hasil, Najib berkata Kerajaan Persekutuan mengunjurkan kutipan hasil berjumlah RM224.1 bilion tahun depan, tambahan sebanyak RM4 bilion berbanding 2013.

"Dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan, defisit fiskal kerajaan persekutuan dijangka terus berkurangan daripada empat peratus keluaran negara kasar pada 2013 kepada 3.5 peratus pada 2014.

"Ini jelas menunjukkan kerajaan komited dalam usaha konsolidasi fiskal bagi memperkukuh kedudukan kewangan negara," kata Perdana Menteri.

#Bantuan Sekolah RM100, Baucar Buku RM250
Kerajaan akan meneruskan bantuan persekolahan RM100 kepada pelajar sekolah rendah dan menengah dan baucar buku RM250 kepada pelajar institusi pengajian tinggi di negara ini, tahun depan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, sebanyak RM540 juta disediakan untuk bantuan persekolahan tersebut bagi mengurangkan beban kewangan ibu bapa pada permulaan sesi persekolahan awal tahun.

Ia adalah tahun ketiga kerajaan menyediakan bantuan persekolahan tersebut yang akan memanfaatkan kira-kira 5.4 juta pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.


"Saya dimaklumkan terdapat ibu bapa yang secara sukarela telah menyumbangkan kembali bantuan tersebut kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Kerajaan amat menghargai dan menyanjungi tinggi nilai murni tersebut," katanya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan akan meneruskan program Baucar Buku 1Malaysia sebanyak RM250 kepada setiap pelajar prauniversiti dan Instituisi Pengajian Tinggi (IPT) untuk mengurangkan kos pembelian buku dan bahan pengajian.

"Langkah ini dijangka dapat memanfaat seramai 1.3 juta pelajar dengan peruntukan sebanyak RM325 juta," katanya.

Baucar Buku 1Malaysia diperkenalkan pada Bajet 2012

#Laporan Audit - Tindakan Tegas Salah Laku
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa akan menyiasat dan mengambil tindakan tegas ke atas salah laku penjawat awam.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan memandang serius isu yang dibangkitkan Laporan Ketua Audit Negara 2012

#Tak Perlu Kemuka Borang Nyata Cukai Pendapatan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata mulai taksiran 2014, pembayar cukai tidak perlu mengemukakan borang nyata cukai pendapatan sekiranya berpuas hati bahawa Pemotongan Cukai Berjadual dianggap cukai muktamad.

#Kerajaan Sudah Beri RM4 Bilion Bantuan Tunai Kepada Kumpulan Sasaran
Hampir RM4 bilion diberikan kepada kumpulan sasaran sehingga 16 Oktober lalu menerusi program bantuan tunai bagi membantu menampung kos sara hidup, demikian menurut Laporan Ekonomi 2013/2014.
Menurut laporan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, bantuan itu diberi kepada mereka yang berpendapatan rendah, pelajar dan bekas anggota tentera.

Berikutan kejayaan pelaksanaannya pada 2012, kerajaan meneruskan pemberian bantuan tunai RM500 pada 2013 kepada setiap isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 atau kurang, manakala bantuan tunai RM250 pula dipanjangkan kepada individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan.


Menerusi program bantuan tunai itu juga, bantuan awal persekolahan sebanyak RM100 diberikan kepada setiap pelajar sekolah rendah dan menengah manakala nilai baucar buku bagi setiap pelajar di peringkat prauniversiti serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta ditingkatkan daripada RM200 kepada RM250.

Laporan berkenaan juga menyatakan bahawa RM1,000 diserahkan kepada bekas tentera yang bersara awal, berkhidmat kurang daripada 21 tahun serta tidak berpencen.

Bayaran sumbangan itu akan dikongsi bersama oleh kerajaan dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

Menurut laporan itu juga, bagi mengurangkan peningkatan kos sara hidup serta perbezaan harga antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, kerajaan telah memperkenalkan Skim Penyeragaman Harga.

Menerusi skim berkenaan sebanyak RM386 juta diperuntukkan untuk pelbagai inisiatif termasuk pemberian subsidi pengangkutan dan penubuhan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) bagi memenuhi keperluan rakyat di Sabah dan Sarawak serta Labuan.


Untuk tujuan itu, sebanyak RM87 juta diperuntukkan dan sehingga Ogos lepas, tujuh KR1M beroperasi, manakala 20 lagi akan dibina secara berperingkat

#Subsidi Gula Di Mansuhkan Berkuatkuasa Esok !!
Subsidi gula sebanyak 34 sen akan dimansuhkan berkuatkuasa esok, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika mengumumkan dalam pembentangan Bajet 2014 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan jumlah pesakit diabetes di negara ini yang agak membimbangkan.

"Berdasarkan statistik, terdapat 2.6 juta rakyat Malaysia yang berumur 30 tahun ke atas menghidap penyakit diabetes," katanya.

Beliau berkata, keadaan itu jika tidak dikawal akan mengakibatkan pelbagai komplikasi seperti penyakit jantung, kerosakan buah pinggang, mata buta dan kaki terpaksa dipotong.

"Saya menyeru supaya kita bersama-sama jaga kesihatan, kurangkan manis dalam makanan dan minuman. Tambahkan manis dalam senyuman," katanya

#PDRM Terima RM8.8b Untuk Kurangkan Kadar Jenayah
Dalam usaha mengurangkan kadar jenayah diseluruh negara, kerajaan memperuntukkan RM8.8 bilion kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Bajet 2014.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata peruntukan itumenunjukkan keutamaan kerajaan terhadap keselamatan dan ketenteraman awam selain komited dalam membanteras jenayah.

Dalam membanteras jenayah, kerajaan memperuntukkan RM200 juta bagimelengkapkan PDRM dengan senjata api, jaket kalis peluru, alat pengesan narkotik, sistem biometrik dan kenderaan forensik.

"Kerajaan juga akan menambah 496 bilangan kamera litar tertutup (CCTV) di 25 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan peruntukan RM20 juta," katanya ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat hari ini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan akan menambah 200 buahmotosikal lagi untuk Unit Rondaan Bermotosikal PDRM tahun depan menjadikannya 2,000 buah motosikal dalam tempoh dua tahun.

"Tahun ini, kerajaan bersetuju menambah 800 buah motosikal dengan peruntukanRM200 juta," katanya.

Perdana Menteri berkata bagi memperkasa perkhidmatan PDRM, kerajaan akanmembina dan menaik taraf ibu pejabat polis, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan kuarters kakitangan dengan peruntukan RM128 juta.
Peruntukan itu termasuk pembinaan IPD baharu di Pasir Mas (Kelantan), KotaSetar (Kedah), Johor Baharu Selatan (Johor), Sipitang (Sabah), Nusajaya (Johor) selain pembinaan balai baharu di Pengerang (Johor), Tongod (Sabah) dan Country Homes Rawang (Selangor).

#BR1M Dinaikkan Dan Diperluaskan
Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM650, manakala bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan akan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat hari ini, berkata sebagai tambahan, buat pertama kalinya BR1M 3.0 akan diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450.

"Pemberian ini adalah berdasarkan kepada kenaikan kos sara hidup yang perlu ditanggung oleh golongan berpendapatan sederhana rendah," katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan mencadangkan caruman Insuran Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia atau i-BR1M bernilai RM50 diberi kepada semua penerima isi rumah BR1M bagi memberi perlindungan maksimum sehingga RM30,000 kepada penerima BR1M sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal.

"Pendek kata, secara keseluruhannya, penerima BR1M dari kalangan isi rumah berpendapatan bulanan tidak melebihi RM3,000 akan menikmati bantuan sebanyak RM700," katanya.

NaJib berkata bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 yang menerima bantuan BR1M sebanyak RM450, juga akan menerima caruman i-BR1M bernilai RM50 yang menjadikan jumlah keseluruhan BR1M sebanyak RM500.

Bagi melaksanakan kesemua pakej BR1M 2014 ini, kerajaan akan memperuntuk sejumlah RM4.6 bilion yang dijangka dapat memanfaatkan sebanyak 7.9 juta penerima.

BR1M mula diperkenal pada 2012, yang memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah, dengan memberi bantuan tunai sebanyak RM500 kepada ketua isi rumah berpendapatan RM3,000 dan ke bawah.

Pada tahun lepas, BRIM 2.0 diteruskan dan diperluaskan kepada individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan. Pemberian bantuan kepada individu bujang ini sebanyak RM250. 

Sumber: AAKJ Blog

Comments

Popular Posts