"APEK" JANGKA PIALA MALAYSIA DITENTUKAN MENERUSI PENALTI

KOTA BHARU:  Penjaga gol Kelantan Khairul Fahmi Che Mat menjangka perlawanan akhir Piala Malaysia antara pasukannya dan Pahang akan berakhir dengan sepakan penalti.

Bagaimanapun kata Khairul Fahmi yang lebih dikenali sebagai Apek, beliau bersedia menghadapi kemungkinan itu dengan memantapkan persediaan mental dan fizikal.

"Kita kena bersedia untuk bertarung lebih daripada 90 minit. Saya juga akan memantapkan lagi kemahiran jika perlawanan diheret sehingga ke penentuan sepakan penalti," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Penjaga gol kebangsaan itu berpandangan amat kritikal bagi barisan tengah dan pertahanan Kelantan mengunci pergerakan tiga penyerang Pahang iaitu Mathias Conti, Azamuddin Akil dan R. Gopinathan.

Selain itu beberapa pemain tengah Tok Gajah juga harus diawasi kerana mereka yang mengatur gerak dengan hantaran berbahaya kepada penyerang, katanya.

"Justeru, latihan beberapa hari menjelang perlawanan akhir ini akan kami gunakan dengan sebaik mungkin dan strategi yang telah diatur oleh ketua jurulatih, Bojan Hodak perlu dipatuhi sebaik mungkin," katanya.

Mengulas ketiadaan tonggak utama barisan pertahanan Obinna Nwaneri yang mengumpul dua kad kuning dalam perlawanan sebelum ini, Khairul Fahmi berkata ketiadaan Obinna akan membuatkan pasukan itu lebih bekerja keras.

"Namun saya yakin dengan pengalaman kami beraksi di pentas perlawanan akhir sebelum ini sedikit-sebanyak akan membantu kami mengawal keadaan pada malam itu nanti dan khidmat penyokong juga ditagih untuk memberi sokongan yang tidak berbelah-bahagi," katanya. - BERNAMA

Comments

Popular Posts