RENUNGAN BERSAMA
Malam ini , saya hendak berkongsi sesuatu yang ingin saya jadikan renungan untuk diri saya sendiri dan berharap ia juga jadi renungan sesiapa yang membaca dalam ruangan ini .Pernahkah anda merasa terlalu kecewa dengan apa yang sedang anda alami ? Ada masanya kita merasa kesal , mengapa keadaan ini berlaku pada diri .Perasaan itu semakin menghimpit dalam fikiran apabila melihat keceriaan serta kelihatan keselesaan pada orang lain . Benarkah hanya kita sahaja menghadapi keadaan ini ? Betulkah keceriaan yang terpancar pada wajah yang sedang anda renung itu benar-benar keceriaan yang ikhlas ataupun hanya topengan luaran belaka ?!
Jika kita melihat ada individu yang hidup dalam kemewahan, serba-serbi lengkap , memiliki rumah yang besar dan indah , memiliki kenderaan yang mewah dan sebagainya . Sudah pasti kita mengandaikan betapa selesanya kehidupan mereka . Tetapi benarkah mereka hidup selesa ? benarkah kehidupan mereka tenang dan gembira ?
Suatu ketika , kita melihat dua sahabat yang berjalan bersama , ketawa bersama , makan bersama , melakukan pekerjaan serta aktiviti selalu bersama . Sudah pasti dalam fikiran kita , betapa ikhlasnya persahabatan mereka . Tetapi suatu hari kita telah mendengar mereka saling mencemuh antara satu sama lain dari belakang . Menceritakan perkara yang buruk tentang sahabat masing-masing kepada orang lain . Ada kalanya berbentuk umpatan dan kadang kala terselit fitnah . Ikhlaskah persahabatan mereka itu ?
Inilah antara corak perjalanan kehidupan kita . Tidak semuanya manis tetapi jangan nafikan bahawa tidak segalanya pahit . Segalanya terserah kepada penerimaan kita . Sebenarnya kita masih boleh membuat pilihan , sama ada terus menelan yang manis atau membuang yang pahit . Ataupun kita menelan kedua-dua rasa itu untuk kita ulamkan menjadi bekalan ketahanan kita meneruskan kehidupan ini.
Andaikanlah kita merasa orang membenci diri kita , ingatkanlah juga diri kita bahawa masih ada yang sayang pada diri kita . Sekurang-kurangnya diri kita . Biarkanlah orang yang memandang betapa teruknya kita sebagai manusia , asalkan kita masih berpijak sebagai manusia hamba Allah . Jangan kita membalas tohmahan mereka kerana jika kita melakukan perkara yang sama, bererti kita juga sama seperti mereka . Elakkanlah diri kita menjadi sebahagian manusia yang sentiasa merasakan diri adalah yang baik dan orang tidak baik, rasa diri sahaj yang elok orang lain buruk , diri sahaja molek orang lain tergolek sehingga merasakan diri kita layak melihat orang lain jauh rendah martabatnya dari kita . Siapa kita ? Bukankah kita dan orang lain itu manusia juga ? Sama tarafnya . Benarkah kita tidak pernah melakukan kesalahan atau kesilapan ? Seandainya benar , adakah itu sudah cukup melayakkan kita meletakkan gelaran kepada orang lain ? Jika kita merasa sedemikian, cepat-cepatlah sedar kerana kita telah melakukan kesalahan paling besar. Bukan sahaja pada diri kita, malahan pada orang lain dan kepada Pencipta kita !
Renungkanlah .

Comments
Post a Comment